Skip to main content

Malaysia

Tenaga kerja berkemahiran tinggi kunci transformasi digital Malaysia - Chang

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata meskipun Malaysia terus menarik pelaburan berbilion ringgit dalam sektor berteknologi tinggi, kejayaan negara pada akhirnya bergantung pada keupayaan tenaga kerja tempatan untuk menguasai dan memanfaatkan teknologi baharu. - Foto BERNAMA
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata meskipun Malaysia terus menarik pelaburan berbilion ringgit dalam sektor berteknologi tinggi, kejayaan negara pada akhirnya bergantung pada keupayaan tenaga kerja tempatan untuk menguasai dan memanfaatkan teknologi baharu. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Malaysia perlu terus memfokuskan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memanfaatkan peluang transformasi digital dan pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
  • Inisiatif seperti Pusat Latihan Serantau Schneider Electric penting untuk merapatkan jurang antara pendidikan akademik dan keperluan industri serta memperkukuh modal insan negara.
  • Malaysia merekodkan lebih RM200 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama tahun ini, termasuk RM95 bilion dalam sektor pusat data dan infrastruktur awan.
Advertisement

PETALING JAYA: Usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu terus menjadi keutamaan Malaysia bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terhasil daripada transformasi digital dan pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata meskipun Malaysia terus menarik pelaburan berbilion ringgit dalam sektor berteknologi tinggi, kejayaan negara pada akhirnya bergantung pada keupayaan tenaga kerja tempatan untuk menguasai dan memanfaatkan teknologi baharu.

“Malaysia kini berada di barisan hadapan transformasi digital serantau, dengan syarikat global memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembuatan semikonduktor, kilang pintar dan tenaga boleh baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan kita sebagai tulang belakang digital rantau Asia Pasifik.

Advertisement

"Bagaimanapun di sebalik pelaburan ini tersirat satu hakikat yang penting, negara tidak dibangunkan oleh mesin, sebaliknya oleh manusia,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Latihan Serantau (RTC) Schneider Electric di sini hari ini.

Chang berkata pendigitalan, automasi termaju dan elektrifikasi kompleks yang diguna pakai secara meluas telah meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam aspek teknikal serta memenuhi keperluan industri.

Advertisement

“Tanpa melengkapkan jurutera, juruteknik dan bakat muda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan industri, kita berisiko menyebabkan tenaga kerja negara ketinggalan memandangkan teknologi terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata inisiatif seperti RTC Schneider Electric itu penting dalam merapatkan jurang antara pendidikan akademik dengan keperluan industri, selain mempersiapkan rakyat Malaysia untuk merebut peluang dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Chang berkata pelaburan industri dalam pembangunan modal insan turut memperkukuh prinsip bahawa aset terbesar Malaysia ialah rakyatnya, sekali gus memastikan dasar inovasi negara diterjemahkan kepada hasil ekonomi yang nyata.

Beliau turut mengetengahkan pencapaian Malaysia yang menduduki tempat ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2026.

Malaysia merekodkan lebih RM200 bilion pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini, termasuk RM95 bilion dalam sektor pusat data dan infrastruktur awan, khususnya di Selangor dan Johor.

Kemudahan seluas 1,719 meter persegi (18,500 kaki persegi) itu berupaya melatih lebih 550 peserta setiap tahun dari 15 negara di rantau Asia Pasifik menerusi latihan teknikal secara praktikal yang melibatkan penggunaan peralatan operasi dan simulasi senario industri sebenar.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Chang dan turut dihadiri Duta Perancis ke Malaysia Marc Abensour, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia Perancis (MFCCI) Richard Fostier serta Presiden Schneider Electric Malaysia Eugene Quah.

Acara itu turut bertepatan dengan ulang tahun ke-40 Schneider Electric di Malaysia, yang menandakan empat dekad penglibatan syarikat itu dalam pembangunan perindustrian, peralihan tenaga dan kemajuan teknologi negara ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement