Skip to main content

Malaysia

Negeri Sembilan lancar Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran 2026-2030

Ismail menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif kepada MAINS pada Majlis Apresiasi Minggu I3 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel hari ini.  - Gambar Bernama
Ismail menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif kepada MAINS pada Majlis Apresiasi Minggu I3 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2026-2030 yang menggariskan 101 inisiatif utama bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata pelan itu merangkumi lima teras strategik dan 14 strategi meliputi pendigitalan aplikasi, infrastruktur digital dan keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sains data, pengurusan perubahan dan kompetensi serta tadbir urus digital.

Beliau berkata pelan itu penting bagi memastikan pentadbiran negeri bersedia mendukung visi kerajaan digital pemangkin perkhidmatan awam Negeri Sembilan berinovatif dan lestari menjelang 2030.

Advertisement

 “Hasrat saya supaya negeri ini mempunyai Pelan Tindakan AI yang jelas dan tersusun. Potensi AI bukan sahaja dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, tetapi juga merangsang inovasi, menarik pelaburan berasaskan teknologi dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

“Saya mahu melihat perkhidmatan awam negeri ini bergerak ke arah konsep AI-Augmented Government, iaitu pentadbiran memperkasakan keupayaan penjawat awam melalui penggunaan AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Minggu I³ Tahun 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Ismail berkata penggunaan AI dalam pentadbiran perlu diperluas bagi membantu menganalisis aduan rakyat, mengenal pasti kelewatan proses kerja dan membuat keputusan berasaskan data menerusi konsep AI-Augmented Government.

Beliau berkata teknologi itu bukan sahaja berpotensi merangsang inovasi, menarik pelaburan berasaskan teknologi dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat, malah penggunaannya perlu disertai peningkatan kompetensi penjawat awam serta kawalan ketat terhadap keselamatan dan kerahsiaan data kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata transaksi digital melalui portal e-PTGNS meningkat hampir 75 peratus daripada kira-kira 130,000 transaksi pada 2022 kepada lebih 230,000 transaksi pada 2025.

Beliau turut memaklumkan Majlis Daerah Tampin dan Majlis Daerah Kuala Pilah menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2026 pada 4 Nov.

Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Daerah Rembau dan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson pula menerima Anugerah Emas pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026. 

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan menerima Anugerah Platinum pada Oktober lepas manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dinobatkan Johan Anugerah Penyampaian Perkhidmatan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 menerusi inovasi e-Takaf (tanah wakaf).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement