KUALA LUMPUR: Bank Dunia menyarankan objektif hasil yang tepat adalah perlu dalam menangani kutipan cukai Malaysia yang sepanjang tahun semakin berkurangan.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata kutipan cukai Malaysia telah menurun sejak beberapa tahun, mendorong kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai langkah bagi meningkatkan hasil, termasuk Cukai Makmur sekali sahaja dan perubahan dalam kadar cukai pendapatan peribadi untuk kumpulan pendapatan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kekurangan objektif hasil tahunan telah memberi kesan kepada cukai yang dikutip.

"Kutipan cukai Malaysia dahulunya ialah 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walaupun sasaran ini sepatutnya lebih tinggi, mungkin sekitar 20 peratus, iaitu purata kutipan ekonomi yang dibanding, saya percaya ia (15 peratus) akan menjadi penanda aras yang baik untuk menyasarkan kembali kepada apa yang Malaysia pernah kumpulkan," katanya.

Apurva berkata demikian semasa taklimat media sempena dengan pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia bertemakan "Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills".

Beliau menyatakan jumlah hasil kerajaan dijangka menurun kepada 15.6 peratus daripada KDNK tahun ini daripada 17.3 peratus yang dicatatkan tahun lepas.

"Hasil kerajaan Persekutuan dijangka menurun disebabkan pendapatan pelaburan berkaitan petroleum yang lebih rendah," katanya.

Beliau juga menekankan bahawa perbelanjaan negara untuk subsidi berada pada tahap yang tinggi, kerana perbelanjaan subsidi untuk 2023 berjumlah 3.9 peratus daripada KDNK, manakala pada 2022, subsidi bahan api menyumbang 2.9 peratus daripada KDNK.

"Jika subsidi dikurangkan separuh, ia hanya mewakili 0.8 peratus daripada KDNK.

"Walaupun setiap pecahan KDNK adalah angka yang positif, ini menekankan betapa kritikalnya untuk melaksanakan strategi yang betul. Mengurangkan subsidi tidak akan mencukupi," kata Apurva.

Bagi 2024, kerajaan mengunjurkan bahawa perbelanjaan subsidi akan menurun, dan bahagian perbelanjaan tegar akan terus meningkat.

"Perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial dijangka menurun kepada 2.7 peratus daripada KDNK pada 2024 daripada 3.9 peratus pada 2023, terutamanya daripada subsidi bahan api yang lebih rendah," katanya.

Beliau menyatakan perbelanjaan tegar, termasuk pembayaran berkaitan emolumen, pencen dan caj khidmat hutang, dijangka meningkat tahun ini dengan jumlah perbelanjaan kerajaan diunjurkan naik kepada 58.6 peratus daripada jumlah perbelanjaan mengurus pada 2024 (2023: 55.3 peratus).

Apurva turut menekankan bahawa nisbah khidmat hutang diunjurkan meningkat kepada 16.2 peratus daripada hasil kerajaan pada 2024 (2023: 14.7 peratus), lebih tinggi daripada had pentadbiran iaitu 15.0 peratus yang diamalkan oleh kerajaan.

-- BERNAMA