SHENZHEN: Malaysia terus menumpukan kepada usaha mengembangkan perdagangan, menarik pelaburan dan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang yang lebih besar bagi perniagaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar berkecuali Malaysia serta penglibatannya dengan semua negara, termasuk kuasa besar dunia, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan pelaburan.
“Dasar kami ialah, kami memanggilnya (dasar) berkecuali. Mereka (para pemimpin) sering bertanya kepada saya, ‘Mengapa anda mempunyai hubungan istimewa yang begitu baik dengan Presiden Xi Jinping dan China?’”
“Saya katakan ‘Inilah yang dimaksudkan dengan kepusatan. Kita berbaik dengan semua pihak,’” kata beliau semasa berucap pada majlis Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC, di sini, hari ini.
Beliau turut menyentuh mengenai pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama para pemimpin ASEAN semalam (Selasa), sambil menyatakan ia merupakan pertemuan yang baik memandangkan Malaysia mahukan hubungan yang mesra dengan semua pihak.
Anwar berkata pada pagi semalam (Selasa) beliau menerima kunjungan Presiden Perancis Emmanuel Macron di Kuala Lumpur, manakala pada pagi ini beliau bertemu dengan Presiden Xi Jinping dan seterusnya Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Jadi, anda boleh bayangkan, apabila kita mengamalkan dasar kepusatan, iaitu menjalin hubungan baik dengan semua pihak, ia adalah sesuatu yang baik untuk perniagaan,” katanya sambil menambah beliau telah bertemu dengan Macron, Trump, Xi, Putin serta kesemua 11 pemimpin ASEAN dalam tempoh kurang daripada dua hari.
Beliau menegaskan libat urus itu suatu yang perlu bagi perniagaan.
“Kestabilan politik dan dasar yang jelas, serta insentif yang baik untuk menarik perniagaan, merupakan prasyarat bagi pelaburan perniagaan,” kata beliau.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dialog tersebut yang menghimpunkan pemimpin industri daripada 23 syarikat terkemuka China menyediakan platform strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan China.
Perbincangan dialog tersebut merangkumi sektor berimpak tinggi seperti tenaga baharu dan bahan bateri bersama EVE Energy, Shenzhen Senior Technology, Capchem, Tinci dan XTC New Energy; peranti pintar dan teknologi digital bersama Xiaomi, Honor dan Tencent; teknologi perubatan bersama Mindray; serta pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan dan logistik.
Selain itu, beberapa syarikat utama China, termasuk Plastech China, Eternal Asia, Guangdong Import & Export Co. (GDIE) dan Kingfa Sci. & Tech turut meneroka peluang mendapatkan bekalan produk dan bahan dari Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi dan pasaran global mereka.
Ini merangkumi sektor pembuatan bernilai tinggi, bahan kimia khusus, polimer, perkhidmatan digital dan produk berasaskan sawit.
Anwar berkata usaha ini berpotensi membuka lebih banyak peluang eksport, memperluas pasaran serta meningkatkan penyertaan syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya saing.
--BERNAMA