Skip to main content

Malaysia

KKDW turun padang ke Sarawak jelas status projek pembangunan bukan berkempen - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MEXCLUB Ke-62 di Desaru Coast Conference Centre hari ini. - Gambar Bernama
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MEXCLUB Ke-62 di Desaru Coast Conference Centre hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan turun padang ke Sarawak bagi menjelaskan mengenai status pelaksanaan projek pembangunan di negeri itu, termasuk projek yang tertangguh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran wakil kementerian itu bukan bertujuan terlibat dalam kempen pilihan raya, sebaliknya memastikan masyarakat mendapat penjelasan berhubung dasar serta pelaksanaan projek di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beberapa projek pembangunan di Sarawak memerlukan penjelasan secara langsung daripada KKDW memandangkan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjelaskan pelaksanaan projek berkenaan.

Advertisement

"Terdapat beberapa penangguhan projek di Sarawak yang perlu dijelaskan pihak KKDW kerana ia tidak boleh dijelaskan oleh kerajaan negeri.

"Contohnya, apabila sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang telah diluluskan sekian lama tetapi masih belum dilaksanakan, kerajaan negeri tidak boleh menjelaskannya kerana projek itu projek kami (Persekutuan)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) ke-62 Bilangan 2 Tahun 2026.

Advertisement

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan penglibatan parti itu dalam membantu kempen PRN Sarawak.

Beliau berkata KKDW mempunyai pelbagai agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang berperanan membantu pembangunan serta kumpulan sasar di negeri itu.

Beliau berkata selain memberikan penjelasan mengenai projek tertangguh, kementerian itu juga akan melaksanakan penyerahan projek yang telah siap bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan kepada masyarakat.

"Jadi maksudnya kami akan turun untuk melakukan penyerahan dan juga melakukan sesi penjelasan kepada kumpulan sasaran di Sarawak," katanya.

Ahmad Zahid berkata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang yang berasal dari Sarawak juga sesuai mewakili kementerian untuk melaksanakan sesi penerangan dan penyerahan projek berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata parti itu tidak akan bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sarawak ke-13, dengan keputusan itu dibuat berdasarkan persefahaman antara UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Sarawak ke-13 pada 12 Dis ini, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 Nov dan pengundian awal 8 Dis, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement