Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengumumkan dua pelantikan baharu barisan kepemimpinannya iaitu Faridah Hashim sebagai Ketua Komunikasi Korporat dan Laurent Recoura sebagai Ketua Jualannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller, kedua-dua pelantikan itu berkuatkuasa pada 1 Julai dan 29 Jun, 2015.

"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan ahli baharu barisan kepemimpinan yang bakal menyertai kami tidak lama lagi.

"Mereka akan memberi input penting bagi membentuk syarikat penerbangan baharu ini," kata Mueller, dalam satu kenyataan.

Faridah mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang komunikasi korporat serta pengurusan yang akan membantu Malaysia Airlines melaksanakan pelan komunikasi strategik membabitkan pihak berkepentingan syarikat itu.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Komunikasi Korporat Axiata Group Bhd.

Recoura yang juga warganegara Perancis, pula bakal berkongsi pengalaman profesionalnya selama 30 tahun dalam industri pelancongan serta penerbangan.

Menerusi kepakarannya dengan tumpuan khusus terhadap kepuasan pelanggan dan strategi jualan menerusi jawatannya sebelum ini, keutamaan Recoura bagi Malaysia Airlines adalah aspek pembangunan dan pelaksanaan kecekapan serta jualan khusus selain interaksi pelanggan dan strategi pengalaman.