KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui promosi bahan makanan (Fi) Malaysia pada pameran Fi Europe yang dijadualkan berlangsung di Messe Frankfurt, Jerman dari 30 Nov hingga 2 Dis 2021.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Frankfurt, Badrul Hisham Hilal berkata MATRADE bersedia untuk memanfaatkan kejayaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 dengan terus mempromosikan produk ramuan halal Malaysia yang diiktiraf kerana kualiti tinggi, keselamatan dan inovasinya.

"Matlamat kami adalah untuk menekankan bahawa produk Malaysia merangkumi ekosistem Halal secara keseluruhan, memajukan produk yang bersih, beretika dan mampan.

"Produk makanan dan minuman Halal Malaysia dieksport ke seluruh dunia ke negara majoriti penduduk beragama Islam dan bukan Islam.

"Justeru, syarikat Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dalam memenuhi permintaan bakal pelanggan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Jerman ialah rakan dagangan terbesar Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) dan MATRADE yakin penyertaan berterusan dalam pameran perdagangan di rantau tersebut akan memberi manfaat yang besar untuk memudahkan pengeksport Malaysia untuk terus mengembangkan bahagian pasaran mereka di EU, katanya.

Dari Januari hingga Oktober 2021, jumlah perdagangan antara Malaysia dan EU berjumlah RM146.98 bilion.

Jumlah eksport Malaysia ke EU berjumlah RM84.47 bilion manakala jumlah import daripada EU berjumlah RM62.51 bilion.

Sebanyak tujuh pengeksport Malaysia akan menyertai acara itu dengan matlamat utama untuk mempromosikan dan berhubung dengan pembeli serta pemain industri dalam industri bahan makanan dari seluruh dunia.

Pavilion Malaysia diterajui oleh MATRADE akan menampilkan rangkaian luas produk berasaskan ramuan termasuk berasaskan koko, minyak sawit, kelapa dan perasa makanan.

Di bawah Pavilion Malaysia, agensi promosi eksport seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Koko Malaysia (MCB) adalah antara pempamer Malaysia pada acara itu.

-- BERNAMA