KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias sebagai pengerusinya berkuat kuasa Khamis.

Dalam satu kenyataan, lembaga pengarah dan pengurusan MAVCAP mengalu-alukan kehadiran Alizakri ke dalam pasukan itu.

"Melalui pengalaman serta kepakaran luas beliau dan pencapaiannya, kami yakin MAVCAP akan terus maju ke hadapan di bawah kepimpinan beliau," kata MAVCAP.

Sementara itu, Alizakri dalam kenyataan sama berkata: "Memandangkan MACVAP adalah antara syarikat modal teroka terkemuka Malaysia, saya teruja untuk bekerjasama rapat dengan lembaga pengarah dan pengurusan untuk memacu pembangunan sektor modal teroka Malaysia,".

Menurut kenyataan itu lagi, Alizakri mempunyai pengalaman 20 tahun di peringkat pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah khususnya dalam bidang pengurusan dana, sektor kewangan, perbankan pusat, sekuriti sosial, penjagaan kesihatan, media dan telekomunikasi, pembangunan hartanah, perladangan serta minyak dan gas.

Beliau sebelum ini menyertai KWSP pada 2014 sebagai Timbalan CEO (Strategi) dan seterusnya menjadi CEO bermula 2018 sehingga Februari 2021.

Di bawah kepimpinan beliau, beliau melancarkan dana ekuiti swasta patuh syariah yang pertama dan terbesar di dunia.

Beliau juga bertanggungjawab dalam inisiatif pengeluaran i-Lestari pada 2020.