Malayan Banking Bhd (Maybank) mengunjurkan prestasi kewangan lebih baik dalam pasaran utama iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia serta peningkatan dalam sektor global tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias, berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, Singapura dan Indonesia masing-masing dijangka berkembang 4.4 peratus, 2.5 peratus dan 5.1 peratus, daripada 4.2 peratus, dua peratus dan lima peratus tahun lepas.

"Bagi pertumbuhan KDNK tiga pasaran utama itu, kami menjangkakan pinjaman dan deposit kami meningkat antara enam dan tujuh peratus, manakala pulangan ke atas ekuiti dijangka antara 10 dan 11 peratus tahun ini.

"Selain itu terdapat juga petunjuk kestabilan bagi harga komoditi global," katanya kepada pemberita semasa taklimat keputusan tahun kewangan 2016 bank itu di sini, pada Khamis.

Abdul Farid berkata, Maybank turut menumpukan kepada peningkatan pendapatan berasaskan fi daripada perkhidmatan-perkhidmatan mereka dan platform digital, Maybank2u (M2U).

"Caj M2U tidak besar. Seiring kami melangkah maju, jumlah juga akan bertambah dan diharap ia akan memberi pendapatan berasaskan fi yang kukuh kepada Maybank," katanya.

Pendapatan berasaskan fi menyumbang hampir 30 peratus kepada perolehan bank manakala kira-kira RM250 bilion nilai transaksi dilakukan menerusi platform M2U pada tahun lepas.

Beliau berkata, Maybank juga menekankan usaha jualan silang lebih luas, meningkatkan margin dan tumpuan segmen serta menguruskan penurunan margin faedah bersih.

Sementara itu, Pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, bank itu melihat segmen infrastruktur sebagai peluang pertumbuhan di rantau ini.

"Penekanan diberikan kepada segmen infrastruktur yang akan menjadi pemacu utama kepada ekonomi serantau," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016, keuntungan sebelum cukai Maybank susut kepada RM8.84 bilion daripada RM9.15 bilion pada 2015.

Perolehan, bagaimanapun, meningkat kepada RM44.66 bilion daripada RM40.56 bilion pada tempoh yang sama.

Maybank merupakan bank terbesar keempat dalam ASEAN dari segi aset.

-- BERNAMA