KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan untuk Geran Teknologi Global (GTG) dan Geran Pemangkin 4IR (4ICG) edisi 2022 bagi syarikat yang berminat.

GTG menyediakan akses pembiayaan untuk penyelidikan atau inovasi, pembangunan dan mengkomersialkan produk atau perkhidmatan komersial berinovatif kepada pemohon, manakala 4ICG membantu penyedia teknologi penyelesaian dalam mencipta, menyelesaikan masalah, menginovasi dan melaksanakan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam perkongsian dengan pengguna akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat teknologi meneruskan agenda digital mereka kerana pasaran global kini sedang menantikan penyelesaian bagi merapatkan jurang digital.

“Program Geran Teknologi MDEC menawarkan Geran GTG dan 4ICG dengan menyediakan syarikat teknologi pembiayaan yang diperlukan untuk terus berkembang dengan produk dan perkhidmatan mereka selain melahirkan juara teknologi, memacu pelaburan dan memangkin inovasi ekosistem digital.

“MDEC yakin inovasi terbaik akan diperoleh daripada pemohon geran berkenaan dan kami akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif bagi memacu Malaysia ke hadapan untuk menjadi hab digital pilihan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

GTG terbuka kepada syarikat teknologi atau syarikat pemula yang telah bersedia untuk menerokai pasaran global pertamanya atau mahu mengembangkan kedudukan global sedia ada dengan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan seterusnya, dengan tempoh projek tidak melebihi daripada dua tahun.

Pemohon syarikat milik tempatan yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 50% daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah, manakala untuk pemohon syarikat milik warga asing yang layak dan diluluskan bakal menerima sehingga 30% daripada nilai kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana lebih rendah.

Sementara itu, 4ICG direka untuk memangkinkan penggunaan dan pembangunan teknologi 4IR ke dalam vertikal perniagaan utama seperti yang ditetapkan di dalam Dasar 4IR Nasional.

Antara sektor utama untuk pemohon 4ICG ialah pergudangan dan perdagangan runcit, pengangkutan dan logistik, pelancongan, kewangan dan insurans, utiliti, profesional, perkhidmatan teknikal, kesihatan, pendidikan, pertanian dan pembuatan.

Penyelesaian yang dicadangkan kepada pengguna akhir mesti dibangunkan berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet untuk Segalanya (IoT), blok rantai, pengkomputeran awan dan analisis data raya.

Permohonan untuk GTG dan 4ICG kini dibuka sehingga 30 Jun 2022 dan syarikat yang layak boleh memohon salah satu daripada geran berkenaan berdasarkan cadangan projek mereka. - DagangNews.com