MELAKA: Program Jelajah Keusahawanan Negeri Melaka akan diadakan di kesemua enam kawasan Parlimen di negeri itu bagi membantu dan memperkasakan golongan usahawan, bermula 15 Okt ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata jelajah berkenaan akan disertai pelbagai pihak berkaitan keusahawanan, syarikat perbankan dan agensi pembiayaan pinjaman perniagaan bagi memudahkan akses penyampaian maklumat dan bantuan kepada mereka yang layak.

Beliau berkata program Jelajah Keusahawanan Negeri Melaka itu merupakan platform terbaik untuk membantu usahawan dengan kaedah turun padang melibatkan pihak berkepentingan dalam industri keusahawanan.

"Masih banyak lagi usahawan di Melaka tidak mendapat maklumat jelas dan terperinci berkaitan pinjaman, geran atau bantuan yang disediakan kerajaan dan bank terutama mereka yang berada di luar bandar.

"Selain itu, usahawan juga akan diberi maklumat berkaitan pensijilan yang boleh diperoleh bagi memperkukuh perniagaan mereka seperti sijil halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Seah berkata program jelajah berkenaan akan bermula di Parlimen Kota Melaka diikuti dengan lima lagi Parlimen lain secara berperingkat.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat Jun tahun ini, lebih 34,000 usahawan direkodkan berdaftar di Melaka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meliputi pelbagai sektor antaranya minuman, makanan dan perkhidmatan.

"Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 1,494 pendaftaran usahawan baharu direkodkan SSM dan situasi berkenaan menunjukkan perkembangan yang baik dalam industri keusahawanan negeri Melaka," katanya.

-- BERNAMA