Skip to main content

Dunia

Skandal Nvidia semakin memuncak, Setiausaha Perbendaharaan AS salahkan jabatan perdagangan

Bessent salahkan Jabatan Perdagangan kerana gagal sekat eksport cip Nvidia kepada syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan China. - Foto REUTERS
Bessent salahkan Jabatan Perdagangan kerana gagal sekat eksport cip Nvidia kepada syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan China. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menyalahkan Jabatan Perdagangan kerana gagal menyekat eksport cip Nvidia kepada syarikat yang dikaitkan dengan China.
  • Pertikaian terbuka antara Bessent dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, menambah tekanan terhadap pentadbiran Trump dalam isu sekatan teknologi ke atas China.
  • Perkembangan ini meningkatkan penelitian terhadap dasar eksport teknologi AS dan keberkesanan langkah kerajaan menghalang teknologi sensitif jatuh ke tangan pihak berisiko.
Advertisement

WASHINGTON: Pertikaian dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung skandal melibatkan pembuat cip Nvidia semakin memuncak apabila Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, secara terbuka menyalahkan Jabatan Perdagangan kerana gagal menyekat eksport cip kepada sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan China, memetik laporan BBC.

Bessent berkata jabatan yang diterajui Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, sepatutnya mengambil tindakan lebih awal untuk menghalang penghantaran cip Nvidia kepada syarikat berkenaan jika wujud kebimbangan mengenai hubungannya dengan Beijing.

Kenyataan itu dilihat sebagai kritikan langsung terhadap Lutnick ketika pentadbiran Trump berdepan tekanan susulan dakwaan bahawa teknologi semikonduktor canggih keluaran Nvidia mungkin telah sampai ke pihak yang tidak sepatutnya menerimanya.

Advertisement

Isu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggubal dasar AS yang selama ini berusaha mengehadkan akses China kepada cip berprestasi tinggi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dianggap penting kepada kepentingan keselamatan negara.

Walaupun Bessent tidak memperincikan syarikat yang terbabit, beliau memberi bayangan bahawa kegagalan penguatkuasaan kawalan eksport oleh Jabatan Perdagangan membolehkan penghantaran cip tersebut diteruskan.

Advertisement

Pertelingkahan terbuka antara dua anggota kanan Kabinet Trump itu menambah tekanan terhadap pentadbiran AS yang sedang memperketat sekatan teknologi ke atas China, khususnya dalam sektor semikonduktor.

Nvidia sebelum ini sering menjadi tumpuan dalam perdebatan mengenai kawalan eksport teknologi AS kerana produknya digunakan secara meluas dalam pembangunan sistem AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

Setakat ini, Jabatan Perdagangan belum mengulas secara terbuka mengenai kenyataan Bessent, manakala Nvidia juga belum mengeluarkan sebarang respons berhubung dakwaan terbabit.

Perkembangan terbaru itu dijangka meningkatkan lagi penelitian terhadap dasar eksport teknologi AS serta keberkesanan langkah kerajaan dalam menghalang teknologi sensitif daripada jatuh ke tangan pihak yang dianggap berisiko kepada keselamatan negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement