KUALA LUMPUR: MESB Bhd telah memeterai dua perjanjian bersyarat yang akan membuka jalan kepada syarikat untuk terus berkembang ke dalam perniagaan kitar semula sisa bagi meningkatkan aliran pendapatan dan bahagian pasaran dalam segmen perniagaan tersebut berikutan kepelbagaian perniagaan yang dirancangkan pada April 2021.

MESB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pertama itu melibatkan perjanjian penjualan saham bersyarat untuk pertimbangan tunai berjumlah RM46 juta yang merangkumi cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Active Fit Sdn Bhd serta MESB Capital and Development Sdn Bhd dan 45 peratus kepentingan ekuiti dalam Miroza Leather (M) Sdn Bhd kepada Trend Navigator Sdn Bhd.

"Lembaga pengarah berpandangan bahawa cadangan pelupusan itu merupakan peluang bagi syarikat untuk membuka kunci selain merealisasikan sebahagian daripada pelaburannya dalam perniagaan berkaitan pakaian dan pada masa yang sama, hasil yang timbul daripada itu boleh digunakan untuk membiayai sebahagian daripada cadangan pengambilalihan itu," katanya.

Menurut MESB lagi, ia juga memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam NU Recycle Sdn Bhd, Formidex Sdn Bhd serta Waier Trading Sdn Bhd daripada Lotus Essential Sdn Bhd, Datuk Wong Sak Kuan dan Lee Wai Fun dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM51 juta.

Selain itu, MESB juga akan mendapatkan mandat pemegang sahamnya untuk urus niaga pihak berkaitan berulang yang dijangka dimeterai oleh MESB serta subsidiarinya dengan syarikat berkaitan kepada Wong selepas selesai cadangan pengambilalihan itu.

Ini adalah tambahan kepada urus niaga pihak berkaitan berulang yang berterusan, yang mana MESB telah memperoleh mandat umum daripada pemegang sahamnya pada 7 Dis 2021.

"Selepas selesai cadangan pelupusan itu, MESB masih mengekalkan 55 peratus kepentingan ekuiti dalam Miroza, yang membawa portfolio jenama terdiri daripada Crocodile, Ducati, Alain Delon, Pierre Cardin, Feraud, Giamax, Giossardi dan Tocco Toscano," katanya.

Syarikat itu optimis mengenai prospek jangka panjang segmen perniagaan kitar semulanya, terutama dengan pengambilalihan syarikat yang diambil alih, yang akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat pada masa depan.

-- BERNAMA