KUALA LUMPUR: Bilangan stesen pengawasan kualiti udara yang berada pada tahap Tidak Sihat meningkat kepada 40 setakat jam 6 petang Selasa.
Bagaimanapun, satu perkembangan positif direkodkan apabila negara kembali mempunyai satu stesen dalam kategori Baik, iaitu Kota Kinabalu di Sabah yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 48.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor terus merekodkan bacaan IPU tertinggi dengan bacaan 189.
Peningkatan bacaan turut dikesan di Kuala Lumpur apabila stesen Cheras meningkat kepada 180, manakala Batu Muda mencatatkan bacaan 172.
Di Selangor, Petaling Jaya dan Klang masing-masing merekodkan bacaan 168, sementara Shah Alam meningkat kepada 175.
Di Pahang, stesen Indera Mahkota, Kuantan kekal pada bacaan 167, manakala Jerantut dan Temerloh masing-masing meningkat kepada 165 dan 164. Balok Baru, Kuantan pula mencatatkan bacaan 161.
Di Johor, bacaan IPU menunjukkan perkembangan yang berbeza apabila Segamat meningkat kepada 121, manakala Tangkak kekal pada bacaan 171. Kluang pula berada pada paras tertinggi kategori Sederhana dengan bacaan 100.
Sarawak terus menunjukkan peningkatan kualiti udara apabila stesen IPD Serian merekodkan bacaan 166, manakala Kuching berada dalam kategori Sederhana dengan bacaan 89.
Menurut APIMS, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 Sederhana, 101 hingga 200 Tidak Sihat, 201 hingga 300 Sangat Tidak Sihat dan melebihi 300 Berbahaya.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat, serta sentiasa memantau status kualiti udara melalui APIMS yang dikemas kini setiap jam.