Skip to main content

Dunia

Laporan pemantau AS dedah kekurangan senjata, kerosakan akibat konflik Iran

Sumber: X CENTCOM
Menurut laporan itu, perang dengan Iran telah menyebabkan kekurangan inventori strategik serta mendedahkan kekangan dalam industri pertahanan bagi membekalkan semula amunisi dan senjata canggih. - Gambar/ CENTCOM
Advertisement

WASHINGTON: Sebuah badan pemantau kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengeluarkan laporan pertamanya mengenai konflik Iran, yang memperincikan kekurangan bekalan senjata canggih serta kerosakan pada pesawat, pangkalan tentera dan kemudahan diplomatik AS di Asia Barat, menurut media AS, lapor Xinhua.

Laporan ketua pemeriksa Pentagon yang merangkumi tempoh 1 April hingga 30 Jun itu memberikan gambaran rasmi paling menyeluruh setakat ini mengenai kos konflik berkenaan dari segi kehilangan nyawa rakyat AS, perbelanjaan wang pembayar cukai dan kerosakan fizikal.

Menurut laporan itu, perang dengan Iran telah menyebabkan kekurangan inventori strategik serta mendedahkan kekangan dalam industri pertahanan bagi membekalkan semula amunisi dan senjata canggih.

Serangan Iran turut merosakkan atau memusnahkan ratusan bangunan dan struktur lain di pangkalan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iraq, Oman dan Jordan.

Puluhan pesawat dan dron AS turut rosak atau musnah.

Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth memberitahu Kongres pada akhir Julai bahawa perang itu telah menelan kos US$37.5 bilion ketika itu.

Laporan berkenaan turut mendedahkan angka kerosakan terhadap kemudahan diplomatik AS buat kali pertama.

Kemudahan diplomatik AS di Iraq, Kuwait, Arab Saudi dan UAE mengalami kerosakan fizikal paling teruk, dengan anggaran kos mencecah US$184 juta, menurut laporan itu.

Operasi pemindahan yang dilaksanakan menggunakan penerbangan persendirian dan komersial serta pengangkutan darat dan laut pula menelan kos lebih US$11 juta setakat akhir Jun.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement