KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh melabur secara dalam talian yang lebih selamat menerusi MIDF Invest yang dilancarkan hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF),
Datuk Charon Wardini Mokhzani, aplikasi itu dibangun selepas mengambil kira peningkatan minat pelabur Malaysia melabur di pasaran antarabangsa terutamanya di pasaran Amerika Syarikat.

"Sejak kebelakangan ini, pelabur Malaysia dilihat lebih sofistikated dan berpengetahuan dalam melabur di pasaran AS susulan keuntungan yang tinggi di pasaran berkenaan.


"Kami mencipta aplikasi ini kerana kami percaya pelaburan di pasaran antarabangsa seharusnya dibuka kepada semua pihak. Menerusi aplikasi ini, kami juga menawarkan persekitaran yang selamat kepada semua pelabur," katanya ketika melancarkan aplikasi MIDF Invest secara maya pada Selasa.

Tambah Charon, pihaknya akan menambah lebih banyak ciri-ciri baharu dalam aplikasi terbabit dari semasa ke semasa.

Malah bagi pelabur yang berminat untuk melabur dalam pasaran patuh syariah, juga boleh menggunakan aplikasi terbabit.

"MIDF Invest ini adalah aplikasi yang mudah digunakan dan menyediakan pelbagai alatan pelaburan untuk pelbagai peringkat pelabur. Aplikasi ini juga memudahkan pelabur menggunakan akaun bank di Malaysia.

"Bagi yang lebih gemar pelaburan patuh syariah, boleh buka akaun Islamik dan melabur di pasaran patuh syariah yang lebih besar antaranya Apple dan Tesla," katanya lagi.

Bagi yang berminat boleh memuat turun aplikasi itu menerusi App Store dan Play Store.

Tambahnya, ketika ini MIFD Invest turut menawarkan akses ke saham dan dana dagangan bursa (ETF) di Bursa Saham New York (NYSE) dan NASDAQ.

Malah buat pelabur Malaysia boleh menggunakan promosi pembrokeran percuma bermula hari ini sehingga 31 Julai depan untuk dagangan di bawah AS$1,000.