AMPANG: Di sebalik suasana hiba yang menyelubungi pemergian Allahyarham Cico Harahap pada 8 November lalu, tersimpan satu lagi kehilangan yang tidak diketahui ramai apabila bapanya, Jamaluddin Jalil Harahap, sebenarnya telah meninggal dunia kira-kira sebulan lebih awal.
Pendedahan itu dibuat oleh penyanyi veteran tersohor tanah air, Uji Rashid sebagai menjawab persoalan segelintir pihak yang tertanya-tanya mengenai ketiadaan bekas suaminya pada hari pengebumian anak mereka.
Menurut Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid, 73, Jamaluddin menghembuskan nafas terakhir pada September lalu dan dikebumikan di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Katanya, Allahyarham Cico memilih untuk tidak berkongsi berita pemergian bapanya kepada orang lain kerana masih menyimpan rasa terkilan terhadap beberapa episod yang pernah berlaku dalam hubungan mereka.
“Orang kata, kenapa bapa dia tidak datang? Cico susah hendak bercakap dengan orang. Dia pun tidak beritahu orang bahawa bapanya sudah meninggal dunia.
“Cico sendiri pernah berkecil hati kerana ketika dia sakit, bapanya tidak datang menjenguk. Jadi, dia tidak banyak bercerita kepada orang lain mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pada majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Cico di Masjid Bukit Antarabangsa, di sini, pada Ahad.
Menurut Uji, walaupun hubungan anak dan bapa itu pernah melalui fasa yang sukar, mereka tidak pernah memutuskan hubungan sepenuhnya dan masih saling berhubung dari semasa ke semasa.
“Mereka masih berhubung. Bapa Cico pernah menghubunginya. Hubungan mereka bukanlah terputus terus. Cuma, Cico sendiri tidak mahu berjumpa kerana ada perkara yang pernah membuatkan dia terasa hati.
“Selepas itu, apabila ada ahli keluarga yang memaklumkan mengenai kematian bapanya, saya nasihatkan Cico supaya pergi menziarahinya.
“Namun, Cico tidak mahu. Dia cuma berkata, dalam solat, dia akan mendoakan dan meminta supaya dosa bapanya diampunkan,” katanya.
Kata-kata itu, menurut Uji, mencerminkan peribadi anaknya yang memilih untuk memendam rasa duka dan kecewa, namun tidak pernah meninggalkan doa buat insan yang bergelar bapa.
Pada majlis yang sama, ahli kariah muslimat Masjid Bukit Antarabangsa turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.
Uji dan Jamaluddin mendirikan rumah tangga sekitar 1978 sebelum berpisah beberapa tahun kemudian.
Pada 8 November lalu, Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira jam 11 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah, 18, hasil perkahwinan bersama bekas isterinya, Nur Fuziani Abdullah.