Skip to main content

Malaysia

RUU Pemakanan, lombong kripto haram antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Dewan Rakyat menyambung semula perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2027)  peringkat jawatankuasa serta jawapan yang dijadual daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan. - Foto fail/BERNAMA
Dewan Rakyat menyambung semula perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2027)  peringkat jawatankuasa serta jawapan yang dijadual daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Dewan Rakyat membincangkan RUU Pemakanan, isu perlombongan mata wang kripto haram dan peluasan infrastruktur stesen pengecasan EV hari ini.
  • Antara soalan dikemukakan melibatkan garis masa, objektif, kos dan mekanisme pelaksanaan RUU Pemakanan serta tindakan terhadap perlombongan kripto haram di Manjung.
  • Pembentangan RUU Kewangan 2026 dan RUU Cukai 2026 turut dijadualkan, diikuti perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa sehingga 26 November.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan, perlombongan mata wang kripto haram serta peluasan infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta Menteri Kesihatan menyatakan garis masa RUU itu akan digubal bagi mengawal pengambilan nutrisi rakyat pada sesi soal jawab lisan.

Beliau juga ingin tahu perincian objektif, skop utama cakupan, kos keseluruhan dan mekanisme untuk memastikan penglibatan pakar kesihatan, pemain industri, badan bukan kerajaan, masyarakat dan pihak berkepentingan lain dalam proses penggubalan dan pelaksanaan RUU itu. 

Advertisement

Pada sesi sama, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa perlombongan mata wang kripto berleluasa secara haram di daerah Manjung, Perak serta sebab pengusaha perlombongan itu sukar ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) pula bertanyakan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai perancangan kementerian memperluas infrastruktur stesen pengecasan EV ke kawasan luar bandar dan pekan kecil bagi merangsang penyerapan teknologi hijau.

Advertisement

Turut tersenarai, soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Pengangkutan mengenai tindakan menambah baik pengurusan keselamatan dan respons kecemasan pada semua short take-off and landing airports (STOLports), yang beroperasi di Sarawak susulan kejadian helikopter yang terhempas di Long Lellang pada 8 September lepas. 

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan RUU Kewangan 2026 dan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 oleh Menteri Kewangan untuk bacaan kali pertama.

Usai itu, Dewan Rakyat menyambung semula perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2027)  peringkat jawatankuasa serta jawapan yang dijadual daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa berlangsung hingga 26 Nov, dengan 16 kementerian lagi akan menyelesaikan sesi penggulungan masing-masing.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 diadakan selama 37 hari hingga 8 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement