KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kekal optimis dalam mencapai sasaran eksport halal Malaysia sebanyak RM63 bilion menjelang 2025 berdasarkan pencapaian memberangsangkan berjumlah RM60 bilion tahun lepas.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementerian juga berhasrat untuk menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berusaha melebihi sasaran yang ditetapkan melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

"Tadi Perdana Menteri menyeru supaya bukan sahaja cuba untuk mencapai sasaran itu, (tetapi) kalau boleh melebihi sasaran yang telah kita umumkan dalam RMK12. Secara umumnya, beliau menyatakan bahawa kita perlu mencapai sasaran yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2023 di sini hari ini yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023.

Anwar ketika berucap merasmikan GHaS 2023 menyeru MITI untuk memberikan tumpuan khusus kepada industri halal dan memanfaatkan minat yang disuarakan oleh negara-negara luar seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Kemboja, selain merekodkan nilai eksport melebihi sasaran yang ditetapkan.

Tengku Zafrul berkata pasaran industri halal global semakin berkembang dan industri itu dijangka meningkat kepada AS$5 trilion menjelang 2030.

Sebelum pandemik COVID-19, Malaysia merekodkan nilai eksport halal berjumlah RM40 bilion.

Pada 2022, eksport halal Malaysia mencecah hampir RM60 bilion dengan peningkatan berjumlah 64 peratus berbanding 2021.

Kategori produk makanan dan minuman adalah penyumbang terbesar eksport halal dengan peningkatan hampir 58 peratus, diikuti dengan produk bahan-bahan halal, kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal.

-- BERNAMA