Skip to main content

Sukan

GP Mexico City: Lawson dibatal kelayakan susulan pelanggaran teknikal

Pembatalan kelayakan itu bermakna pemandu New Zealand berkenaan kini dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak paling belakang. - AP
Pembatalan kelayakan itu bermakna pemandu New Zealand berkenaan kini dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak paling belakang. - AP

Advertisement

Advertisement

MEXICO CITY: Pemandu Racing Bulls, Liam Lawson dibatalkan kelayakannya dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Mexico City susulan pelanggaran teknikal dan akan memulakan perlumbaan pada Ahad dari petak paling belakang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lawson mencatat masa kelapan terpantas dalam sesi kelayakan, namun penalti penurunan satu petak susulan perlanggaran dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen menyebabkan beliau turun ke petak kesembilan.

Bagaimanapun, pembatalan kelayakan itu bermakna pemandu New Zealand berkenaan kini dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak paling belakang.

Advertisement

Selepas sesi kelayakan, Lawson dirujuk kepada steward perlumbaan berhubung dakwaan melanggar ketetapan kuasa minimum Motor Generator Unit-Kinetic (MGU-K) sejurus selepas melintasi garisan penamat pada pusingan terpantasnya dalam sesi kelayakan kedua (Q2).

"Bukti yang dikemukakan dan diterima oleh semua pihak yang hadir menunjukkan bahawa selepas melepasi garisan kawalan pada penghujung pusingan terpantasnya dalam Q2, pemandu itu tidak segera mengurangkan kuasa," menurut dokumen keputusan steward.

Advertisement

"Ini menyebabkan kadar pengurangan penggunaan kuasa MGU-K gagal mencapai tahap yang ditetapkan dalam peraturan teknikal."

Pasukan Lawson sendiri melaporkan pelanggaran itu dan berhujah bahawa tindakan berkenaan tidak memberikan sebarang kelebihan dari segi prestasi.

"Bagaimanapun, jelas bahawa pelanggaran Peraturan Teknikal tidak boleh diketepikan walaupun tiada kelebihan prestasi diperoleh. Selain itu, peraturan berkenaan menetapkan bahawa sesebuah jentera mesti mematuhinya pada setiap masa sepanjang acara berlangsung," menurut steward.

Lewis Hamilton meraih petak pertama bagi perlumbaan Ahad, diikuti pemandu Mercedes, George Russell di tempat kedua, manakala Charles Leclerc di tempat ketiga.

Verstappen terpaksa berpuas hati di tempat keempat dalam sesi kelayakan, namun akan memulakan perlumbaan dari petak kelima selepas turut dikenakan penalti penurunan satu petak susulan perlanggaran dengan Lawson.

Pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli, yang hanya mencatat masa kelima terpantas dalam sesi kelayakan, akan memulakan perlumbaan dari petak keempat.

Pemandu Itali itu berpeluang merangkul gelaran juara dunia sulungnya pada Ahad sekiranya menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kesembilan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement