Skip to main content
Advertisement

Berita

NUEW rayu keputusan tolak pendaftaran kesatuan pemandu e-hailing

Zulkifli (foto) berkata keputusan penolakan tersebut dimaklumkan menerusi surat bertarikh 26 Ogos 2026 yang diterima melalui e-mel pada 17 September lalu sebelum diterima secara fizikal dua hari kemudian. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Zulkifli (foto) berkata keputusan penolakan tersebut dimaklumkan menerusi surat bertarikh 26 Ogos 2026 yang diterima melalui e-mel pada 17 September lalu sebelum diterima secara fizikal dua hari kemudian. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Protem National Union of E-Hailing and Allied Industries Workers of Peninsular Malaysia (NUEW) mengemukakan rayuan kepada Menteri Sumber Manusia supaya mengetepikan keputusan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja yang menolak permohonan pendaftaran kesatuan itu.

Presiden Protem NUEW, Zulkifli Othman, berkata keputusan penolakan tersebut dimaklumkan menerusi surat bertarikh 26 Ogos 2026 yang diterima melalui e-mel pada 17 September lalu sebelum diterima secara fizikal dua hari kemudian.

Beliau berkata NUEW ditubuhkan bagi memperjuangkan hak, kepentingan dan kebajikan golongan itu, selain menyediakan saluran perwakilan bersama yang sah melalui kesatuan sekerja.

Penubuhan NUEW bertujuan membolehkan pemandu e-hailing mendapatkan perwakilan secara tersusun serta membuka ruang untuk rundingan kolektif dengan pihak platform, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

NUEW menyasarkan keanggotaan kira-kira 160,000 pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia.

Zulkifli berkata permohonan pendaftaran kesatuan itu ditolak atas tiga alasan utama, termasuk kedudukan pemandu e-hailing yang didakwa tidak memenuhi takrifan “pekerja” di bawah Seksyen 2 Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Katanya, alasan itu berasaskan anggapan bahawa hubungan antara pemandu dengan pihak platform adalah berdasarkan perjanjian perkhidmatan gig, bukannya kontrak pekerjaan.

“Berdasarkan pendirian itu, pemandu juga dikatakan tidak memenuhi syarat keanggotaan kesatuan sekerja di bawah Seksyen 26(1A) akta yang sama,” katanya pada sidang media khas, Selasa.

Beliau berkata alasan lain yang dikemukakan ialah permohonan NUEW dianggap tidak lengkap dan tidak teratur, sekali gus menjadi asas penolakan pendaftaran dengan merujuk kepada Seksyen 12(3)(d) Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya kecewa dengan keputusan itu dan tidak bersetuju pemandu e-hailing dinafikan peluang menubuhkan kesatuan sekerja atas alasan tersebut.

Menurutnya, status pekerjaan pemandu perlu dinilai secara adil dengan mengambil kira hubungan mereka dengan pihak platform serta pengaruh platform terhadap pekerjaan dan pendapatan mereka.

Beliau mendakwa pihak platform mempunyai peranan dalam menentukan tambang, menyalurkan tempahan, menilai prestasi serta menggantung atau menamatkan akses pemandu kepada pekerjaan.

“Walaupun kami mempunyai fleksibiliti tertentu, keputusan pihak platform tetap memberi kesan langsung kepada cara kami bekerja dan pendapatan yang kami peroleh.

“Gelaran seperti ‘rakan pemandu’ atau ‘pekerja gig’ sahaja tidak menggambarkan keseluruhan keadaan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata NUEW telah mengemukakan rayuan bertarikh 14 Oktober 2026 kepada Menteri Sumber Manusia bagi memohon keputusan penolakan tersebut diketepikan dan pendaftaran kesatuan itu diluluskan.

Must Watch Video

Advertisement