MK Land perluas projek kediaman, komersial di koridor utara Ipoh

Pelancaran projek Eugenia dan Lily disempurnakan baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Operasi MK Land Wilayah Utara, Nazri Tumin bersama Ketua Hartanah Wilayah Utara, Norida Abu Kassim.
KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan hartanah, MK Land Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah utama di Perak dengan memperkenalkan tiga projek baharu - Eugenia, Lily dan Perdana Centerpoint 3 yang menjadi tambahan terbaharu dalam pembangunan perbandaran syarikat itu di koridor utara Ipoh.
Pelancaran projek Eugenia dan Lily disempurnakan baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Operasi MK Land Wilayah Utara, Nazri Tumin bersama Ketua Hartanah Wilayah Utara, Norida Abu Kassim, yang turut menegaskan komitmen syarikat dalam menyediakan pilihan kediaman berkualiti dan mampu milik untuk masyarakat setempat.
Eugenia merupakan pembangunan rumah teres dua tingkat yang menekankan konsep praktikal, moden dan selesa bagi keluarga pelbagai saiz.
Setiap unit dibina di atas lot bersaiz 22’ x 65’ dengan keluasan binaan sekitar 1,855 kaki persegi, lengkap empat bilik tidur dan tiga bilik air.
Rekaan dalaman memberi penekanan kepada pencahayaan semula jadi, pengudaraan baik dan pembahagian ruang di dua tingkat bagi memastikan keseimbangan antara privasi dan ruang keluarga. Terletak di Klebang Putra, projek ini menawarkan akses mudah ke kemudahan harian, institusi pendidikan, pusat beli-belah dan rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan.
Eugenia turut dibangunkan dalam komuniti berpagar dengan fokus terhadap keselamatan, ketenangan serta elemen landskap hijau bagi menyokong gaya hidup harmoni dan lestari.
Bagi memenuhi permintaan kediaman mampu milik, M K Land turut memperkenalkan Lily, sebuah projek teres dua tingkat dengan saiz tanah 20’ x 60’ dan keluasan binaan sekitar 1,150 kaki persegi. Setiap unit menawarkan empat bilik tidur dan tiga bilik air.
Dengan harga bermula RM250,000, Lily disasarkan kepada pembeli rumah pertama dan keluarga muda.
Projek ini juga layak untuk pembiayaan sehingga 100 peratus di bawah skim Rumah Perakku 3 dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, menjadikannya lebih mudah dimiliki.
Dibangunkan di Raia Perdana, Lily terletak berhampiran kemudahan asas, laluan utama dan kawasan perbandaran matang, menjadikannya pilihan strategik bagi mereka yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga.
Melengkapkan penawaran kediaman, MK Land turut membangunkan Perdana Centerpoint 3, sebuah deretan rumah kedai dua dan tiga tingkat dengan keluasan unit sekitar 3,336 kaki persegi.
Terletak berhampiran laluan utama Ipoh–Chemor–Kuala Kangsar, pembangunan komersial ini dijangka menjadi hab perniagaan baharu yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Kehadiran projek-projek kediaman sekitarnya seperti Eugenia, Lily, Carissa dan Miltonia turut meningkatkan potensi pertumbuhan perniagaan di kawasan tersebut.
Menurut Norida, pelancaran tiga projek ini mencerminkan usaha berterusan MK Land untuk menawarkan pilihan kediaman moden dan premis komersial yang menyokong pertumbuhan komuniti secara keseluruhan.
Nazri Tumin pula menekankan bahawa setiap projek di koridor utara Ipoh dibangunkan berlandaskan prinsip pembangunan mampan, dengan penekanan terhadap reka bentuk praktikal, aksesibiliti, keselamatan dan ciri-ciri komuniti berdaya huni.
MK Land melihat kawasan Ipoh–Chemor sebagai zon pertumbuhan baharu yang berpotensi besar, selari dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperkasa wilayah utara sebagai hab kediaman dan komersial mapan.
Gabungan projek Eugenia, Lily dan Perdana Centerpoint 3 dijangka menyumbang kepada peningkatan nilai hartanah, peluang pekerjaan baharu serta pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih seimbang di kawasan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


