Ringkasan AI
- Sebanyak 13 Loji Rawatan Air di Johor dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kekurangan air mentah akibat fenomena El Nino.
- Kerajaan negeri memohon pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan air, dengan cadangan pelaksanaan secara mingguan mengikut keadaan cuaca.
- Permintaan elektrik dijangka meningkat sehingga 15 peratus, dan TNB memperkukuh pemantauan serta melaksanakan langkah mitigasi untuk memastikan bekalan stabil.
ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) di Johor dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan (hotspot) yang berisiko mengalami kekurangan sumber air mentah susulan fenomena El Nino.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata LRA berkenaan meliputi daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang serta Segamat, sekali gus menjelaskan agensi terlibat melaksanakan pemantauan setiap hari, bagi memastikan tindakan mitigasi yang telah dirangka dapat diambil lebih awal.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan yang membekalkan sumber air kepada 13 LRA tersebut kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Mohamad Fazli berkata OPA bermula pada bulan ini hingga Jun tahun depan, dengan cadangan pelaksanaan secara mingguan mengikut kesesuaian cuaca dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL), iaitu bagi November dan Disember ini serta Januari depan.
“Bagi tempoh berikutnya, iaitu selepas MTL melemah secara beransur, cadangan pelaksanaan akan disesuaikan dengan keadaan atmosfera dan keperluan sumber air semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini, bagi menjawab soalan Ng Yak Howe (DAP-Bentayan) mengenai persediaan dan pelan kontingensi kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air bersih dan elektrik kekal mencukupi, susulan fenomena super El Nino.
Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) berkata langkah pelaksanaan OPA berfasa itu adalah bertujuan membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan, sebelum paras sumber air mengalami penyusutan yang lebih serius.
Dalam pada itu, permintaan elektrik ketika fenomena El Nino dijangka meningkat antara lima hingga 15 peratus, khususnya pada waktu puncak kira-kira 2 hingga 5 petang, susulan penggunaan penyaman udara dan sistem penyejukan yang lebih tinggi dalam sektor domestik, komersial serta industri berat.
Bagaimanapun, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Pelan Tindakan El Nino 2026, memperkukuh pemantauan beban elektrik, khususnya pada rangkaian yang mencapai pembebanan melebihi 85 peratus termasuk melaksanakan langkah mitigasi.
“Langkah ini merangkumi pengimbangan beban, penyusunan semula rangkaian, penambahan suntikan bekalan serta kerja naik taraf aset dan kabel mengikut keperluan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi El Nino menerusi intervensi awal meliputi OPA, penyediaan bekalan air kecemasan, mitigasi rangkaian elektrik serta penglibatan masyarakat dalam usaha penjimatan air dan tenaga.
-- BERNAMA