Ringkasan AI
- Peperiksaan bertulis SPM 2026 bermula hari ini di seluruh negara dengan pelbagai persiapan termasuk kemudahan khas untuk calon berkeperluan pendidikan khas.
- Langkah kontingensi seperti Ops Payung dan pusat peperiksaan alternatif diaktifkan di negeri berisiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut untuk memastikan kelancaran peperiksaan.
- Kerajaan negeri dan agensi berkaitan turut menyediakan sokongan makanan, pemantauan kesihatan serta petugas tambahan bagi menjaga kebajikan calon dan kelancaran pengendalian peperiksaan.
KUALA LUMPUR: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 bermula hari ini dengan pelbagai persiapan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran peperiksaan, termasuk penyediaan kemudahan khas untuk calon berkeperluan pendidikan khas serta pelan kontingensi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Di KUALA LUMPUR, sebanyak 21,425 calon berdaftar menduduki SPM 2026 di 162 pusat peperiksaan di seluruh Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada 15,759 calon sekolah kerajaan, 221 orang calon sekolah agensi kerajaan, 2,598 calon sekolah swasta dan 2,847 calon persendirian serta 190 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK).
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata 2,303 petugas peperiksaan termasuk 252 sukarelawan pengawas peperiksaan bukan dalam kalangan penjawat awam dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.
Di PUTRAJAYA, seramai 2,745 calon menduduki SPM tahun ini di 16 pusat peperiksaan dengan 166 petugas dilantik, selain pelan kontingensi turut disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) pada hari pertama peperiksaan.
Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan bakul makanan kepada 50 calon SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MTIS) Alam Impian, Shah Alam menerusi Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) SPM 2026.
Inisiatif kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) akan turut disalurkan kepada 73,594 pelajar di 256 sekolah di seluruh negeri itu bertujuan menyediakan makanan bernutrisi sebagai sokongan terhadap keperluan makanan, tumpuan dan kesejahteraan pelajar sepanjang tempoh peperiksaan.
Di KEDAH, sebanyak 30,980 calon berdaftar untuk menduduki SPM di 279 pusat peperiksaan termasuk pusat hospital, dengan 19 sekolah dikenal pasti berisiko banjir membabitkan 1,590 calon.
Pengarah Pendidikan Negeri Azhari Abdul Rashid berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah mengaktifkan persediaan menerusi Ops Payung termasuk mengenal pasti pusat peperiksaan dan asrama alternatif, menyediakan aset kecemasan serta melaksanakan pemantauan cuaca secara masa nyata.
Sementara itu, di KELANTAN sejumlah 27,998 calon menduduki peperiksaan di 298 pusat peperiksaan dengan 3,284 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan SPM tahun ini.
Pengarah JPN Kelantan Siti Norina Muhamad berkata kemudahan khas turut disediakan kepada 398 calon berkeperluan pendidikan khas termasuk masa tambahan, bilik peperiksaan khas serta kertas peperiksaan bercetak besar atau Braille.
Di PAHANG, 21,640 calon berdaftar untuk menduduki SPM di 268 pusat peperiksaan dengan 2,992 petugas dilantik termasuk 395 sukarelawan.
Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata jumlah itu merangkumi calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah di bawah agensi kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah swasta serta calon persendirian.
Selain itu, di TERENGGANU, 20,352 calon menduduki SPM di 177 pusat peperiksaan dengan 121 daripadanya merupakan calon berkeperluan khas dan 1,285 calon persendirian.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) negeri Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengaktifkan Ops Payung bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang MTL, dengan 39 sekolah dikenal pasti berisiko serta pusat peperiksaan alternatif disediakan.
Di PULAU PINANG, seramai 19,439 calon menduduki SPM di 154 pusat peperiksaan termasuk 16 pusat di hospital manakala 1,505 petugas termasuk 202 sukarelawan dilantik bagi memastikan kelancaran peperiksaan.
Pengarah Pendidikan Negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata 13 calon menduduki peperiksaan di hospital termasuk tujuh di Seberang Perai Tengah dan masing-masing tiga di Timur Laut serta Seberang Perai Utara.
Dalam pada itu di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 17,463 calon berdaftar untuk menduduki SPM tahun ini berbanding 17,384 calon pada tahun lepas, dengan 144 pusat peperiksaan melibatkan 132 sekolah ditetapkan bagi tujuan itu.
Pengarah JPN Negeri Sembilan Khalidah Omar berkata daripada jumlah keseluruhan, seramai 1,245 merupakan calon persendirian.
Di MELAKA, 13,372 calon termasuk 132 calon berkeperluan khas berdaftar untuk menduduki SPM di 102 pusat peperiksaan dengan 1,948 petugas dilantik.
JPN Melaka dalam kenyataan memaklumkan kemudahan khas disediakan kepada semua calon berkeperluan khas termasuk masa tambahan, kertas soalan bercetak besar bagi calon kurang penglihatan serta pengecualian ujian bertutur bagi calon kurang pendengaran.
Sementara itu di JOHOR, sejumlah 51,371 calon mendaftar untuk menduduki SPM di 367 pusat peperiksaan dengan 4,484 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Pengarah Pendidikan Negeri Zulkurnain Abdul Rahman berkata tiga bilik peperiksaan dan tiga bilik kuarantin turut disediakan di SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian sebagai persediaan sekiranya terdapat calon mengalami gejala demam atau penyakit berjangkit.
Di PERLIS, 3,838 calon menduduki SPM di 37 pusat peperiksaan dengan 231 petugas dilantik, termasuk 24 calon berkeperluan pendidikan khas dan empat calon kes khas yang menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pengarah Pendidikan Negeri Ishak Awang berkata JPN Perlis turut menyediakan pelan alternatif termasuk pemindahan calon ke pusat peperiksaan lain sekiranya berlaku banjir, dengan beberapa lokasi seperti kolej komuniti, Kolej Matrikulasi Perlis dan Kolej Vokasional Arau dikenal pasti sebagai pusat alternatif.
Di SARAWAK, sebanyak 36,144 calon memulakan peperiksaan bertulis SPM di 262 pusat peperiksaan yang dilaporkan selamat daripada banjir walaupun beberapa kawasan di negeri itu terjejas akibat bencana berkenaan.
Pengarah Pendidikan negeri Datuk Omar Mahli berkata pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MTL, termasuk menyediakan penempatan di asrama sekolah kepada calon yang kediamannya terjejas serta memindahkan calon ke pusat peperiksaan alternatif sekiranya laluan terputus.
Di SABAH, 42,808 calon SPM mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 324 pusat peperiksaan disediakan di negeri ini.
Pengarah Pendidikan Sabah Abidin Marjan yang meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di SMK Majakir, Papar, berkata 13,291 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan serta pengendalian SPM pada tahun ini berjalan lancar serta teratur.
Beliau berkata pihaknya cakna akan keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan dengan menyediakan mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan termasuk mengaktifkan langkah kesiapsiagaan merangkumi Operasi Payung bagi menghadapi risiko banjir.
“(Turut diaktifkan) Operasi Topeng bagi situasi jerebu, Operasi Gempa bagi insiden bencana alam seperti gempa bumi dan Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit,” katanya.
Beliau turut menasihati calon supaya memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan jabatan sekiranya terlibat serta terkesan bencana.
-- BERNAMA