Kementerian Kewangan (MoF) akan mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) akhir minggu ini untuk pihak yang berminat menyertai projek Bandar Malaysia, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Irwan yang juga Pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, berkata menerusi RFP, MoF akan menetapkan kriteria dan syarat baharu kepada syarikat yang akan terlibat.

"Sudah ada pihak yang mendaftar, namun kami mengeluarkan RFP dengan syarat tertentu kali ini, seperti syarikat terkemuka yang mempunyai pengalaman luas atau mungkin mereka yang disenarai dalam Fortune 500, " katanya kepada pemberita pada pelancaran pertandingan sulung ColossusINNO2017 di sini hari ini.

Beliau berkata belum ada ketetapan mengenai tempoh masa RFP akan dijalankan sebelum keputusan mengenai pihak yang boleh menyertai projek terlibat.

Bagi Bajet 2018, beliau berkata MoF sudah menubuhkan pasukan untuk mengumpul data, membuat analisis dan menyediakan strategi.

Bajet akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Okt tahun ini.

Irwan berkata satu bidang yang akan ditekankan ialah keusahawanan dan inovasi dengan sejumlah peruntukkan akan disediakan kepada pelbagai entiti untuk memacu agenda itu, memandangkan kedua-dua merupakan pendorong pertumbuhan ekonomi dan menyediakan pekerjaan pada masa depan.

Sementara itu, pertandingan Gerakan Keusahawanan Global (GEM) ColossusINNO2017 disasarkan menarik 1,000 penyertaan daripada usahawan dari seluruh dunia untuk merebut hadiah utama bernilai US$100,000.

GEM, pertubuhan bukan untuk membuat keuntungan diasaskan oleh Irwan, yang kini merupakan panaungnya.

Ia ditubuhkan untuk mempromosikan keusahawanan dengan matlamat menyebarluaskan inovasi dan keusahawan.

Presiden GEM Dash Dhakshinamoorthy berkata pertandingan ColossusINNO2017 dijayakan bagi mengilhamkan pemikiran baharu dalam kalanghan usahawan yang boleh menyelesaikan masalah serantau ASEAN seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan atau alams ekitar.

Beliau berkata penyertaan terbuka kepada semua usahawan dari eluruh dunia, dan GEM akan bekerja sama dengan platform pertandingan yang berpangkalan di Lembah Silicon, You Noodle, sebagai enjin pertandingan bagi memilih pemenang secara bebas dan berasaskan syarat global.

Panel hakim terdiri daripada pemimpim dan pakar bertaraf dunia,

Penyertaan dibuka bermula 21 Jun hingga akhir Oktober, diikuti pengumuman mengenai peserta akhir pada November. Pemenang akan diumumkan pada acara GE Community 2017 dari 5 hingga 6 Disember.

-- BERNAMA