Skip to main content

Dunia

Tasik Bhutan melimpah, lebih 10,000 penduduk di India dipindahkan

Kejadian yang berlaku di Tasik Shintaphu di bawah Gunung Wakila, daerah Gasa di utara Bhutan itu menyebabkan negeri West Bengal dan Assam di India kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. -Foto Writers Association of Bhutan
Kejadian yang berlaku di Tasik Shintaphu di bawah Gunung Wakila, daerah Gasa di utara Bhutan itu menyebabkan negeri West Bengal dan Assam di India kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. -Foto Writers Association of Bhutan

Advertisement

Advertisement

ALIPURDUAR: Ribuan penduduk dipindahkan manakala amaran rentas sempadan dikeluarkan susulan kejadian limpahan tasik glasier di kawasan pergunungan Himalaya, petang Khamis, lapor Independent.

Kejadian yang berlaku di Tasik Shintaphu di bawah Gunung Wakila, daerah Gasa di utara Bhutan itu menyebabkan negeri West Bengal dan Assam di India kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Kira-kira 7.4 juta meter padu air dilaporkan melimpah dari tasik berkenaan, sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak paras air di kawasan hilir sungai.

Advertisement

Kementerian Air India mengeluarkan nasihat khas kepada West Bengal dan Assam dengan memberi amaran bahawa aliran banjir dijangka memasuki sempadan negara itu dalam tempoh enam hingga lapan jam.

Susulan amaran tersebut, lebih 10,000 penduduk di daerah Alipurduar, West Bengal dipindahkan ke pusat perlindungan sementara termasuk sekolah yang dijadikan pusat bantuan.

Advertisement

Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan amaran merah berterusan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Sankosh serta beberapa kawasan rendah di Dooars bagi mengelakkan risiko banjir.

Seorang pemimpin kerajaan tempatan menerusi hantaran video rasmi turut menggesa penduduk di kawasan tadahan Sungai Sankosh dan Tufanganj supaya berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

Menurut laporan media tempatan, aliran banjir itu menghanyutkan kompleks air panas semula jadi Gasa Tshachu selain merosakkan sebahagian struktur lebuh raya utama yang menghubungkan Punakha dan Gasa di Dzomlingthang.

Menjelang pagi Jumaat, paras air dilaporkan mula surut namun amaran bahaya tahap tinggi masih berkuat kuasa di sepanjang zon sempadan Sungai Sankosh.

Sementara itu, Ketua Menteri Assam Himanta Biswa Sarma berkata pihaknya memantau rapat kesan limpahan tasik glasier itu di kawasan berisiko tinggi termasuk Dhubri dan Kokrajhar.

Menurut beliau, pasukan penyelamat tempatan kini berada dalam keadaan siap siaga penuh dan terus berhubung dengan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan.

Must Watch Video

Advertisement