NEW DELHI: Pada tahun ini, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menjangkakan lebih 270 acara antarabangsa akan diadakan di negara ini, iaitu kira-kira tujuh peratus lebih banyak berbanding 2023.

Pada tahun lepas, Malaysia menjadi lokasi bagi penganjuran 253 acara merangkumi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran pelancongan (MICE), kata Pengarah mesyuarat dan insentif sokongan MyCEB, Mohammad Isa Abdul Halim kepada Bernama dalam satu temu bual.

MyCEB mempromosikan lokasi di seluruh Malaysia untuk menarik acara perniagaan.

"Selain Kuala Lumpur, kami turut mempromosikan Johor, Kuching dan Kota Kinabalu. Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama juga tidak terkecuali.

"Kami menjangkakan tidak kurang daripada 270 acara pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di Malaysia menjadikan negara ini sesuai untuk menganjurkan acara MICE meliputi pelbagai bidang.

"Malaysia boleh menawarkan insentif dalam pelbagai bidang perniagaan. Infrastruktur dan kemudahan kami terbukti maju dan kami menawarkan persekitaran budaya yang pelbagai," kata Mohammad Isa.

MyCEB menyertai beberapa acara promosi di India pada Februari sebagai sebahagian daripada jerayawara Tourism Malaysia di lima bandar.

-- BERNAMA