Skip to main content

Malaysia

Kemajuan pembinaan ECRL di Pahang cecah 99.17 peratus - KSN

Shamsul Azri berkata jajaran ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer kini berada pada fasa akhir pelaksanaan menjelang pengoperasian komersial yang dijadual bermula 12 Dis ini. - Gambar fail/Facebook ECRL
Shamsul Azri berkata jajaran ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer kini berada pada fasa akhir pelaksanaan menjelang pengoperasian komersial yang dijadual bermula 12 Dis ini. - Gambar fail/Facebook ECRL
Advertisement

KUANTAN: Kemajuan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang mencapai 99.17 peratus setakat Oktober lepas, mengatasi kemajuan keseluruhan jajaran Fasa Pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor yang kini berada pada tahap 99.03 peratus.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar berkata jajaran ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer kini berada pada fasa akhir pelaksanaan menjelang pengoperasian komersial yang dijadual bermula 12 Dis ini.

Beliau berkata jajaran di negeri itu merangkumi tujuh stesen, iaitu KotaSAS dan Cherating yang dikhususkan bagi perkhidmatan penumpang, manakala Kuantan Port City (KPC), Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong berfungsi sebagai stesen gabungan penumpang dan kargo.

Advertisement

"Ini menjadikan Pahang sebagai negeri yang mempunyai bilangan stesen terbanyak dalam keseluruhan rangkaian ECRL," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Stesen ECRL KotaSAS di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian stesen berkenaan. 

Advertisement

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda, termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat. 

Yang turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Shamsul Azri berkata Stesen ECRL KotaSAS yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar merupakan stesen utama di Pahang, dengan reka bentuk diinspirasikan daripada motif Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang.

Stesen itu turut dilengkapi lebih 500 petak parkir kenderaan termasuk petak berbumbung solar, selain kemudahan ruang menunggu, kuarters pekerja, laluan pejalan kaki serta zon mengambil dan menurunkan penumpang untuk bas dan e-panggilan.

Shamsul Azri berkata kedudukan stesen berkenaan berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi dijangka memperkukuh peranannya sebagai hab pengangkutan utama di Kuantan.

Pengoperasian ECRL juga dijangka merancakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang, selain memacu pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar stesen berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement