Skip to main content

Bisnes

MyCEB perluas jaringan Acara Perniagaan Malaysia-Indonesia menerusi Indonesia Roadshow 2026

TB_MYCEB INDONESIA_MYCEB
MyCEB bersama rakan industri dan para peserta semasa Indonesia Roadshow 2026 di Jakarta. - Foto MyCEB
Advertisement

JAKARTA: Hubungan Malaysia-Indonesia terus membuka peluang pertumbuhan baharu dalam sektor Acara Perniagaan menerusi Indonesia Roadshow 2026 anjuran Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB).

Berlangsung di Surabaya dan Jakarta, jelajah itu mempertemukan 20 rakan industri Malaysia dengan pemain industri Indonesia, termasuk agensi pelancongan, perancang mesyuarat korporat, syarikat pengendali insentif serta pemegang taruh utama Acara Perniagaan.

Platform berkenaan memberi peluang kepada industri Malaysia mengetengahkan tempat acara bertaraf dunia, kepelbagaian pengalaman destinasi, kesalinghubungan serta perkhidmatan sokongan kepada pasaran Indonesia.

Indonesia kekal antara pasaran sumber utama Acara Perniagaan Malaysia, didorong kedudukan geografi berdekatan, kesalinghubungan udara yang baik, hubungan perniagaan yang telah lama terjalin serta persamaan budaya antara kedua-dua negara.
 

Image
INSERT_MYCEB INDONESIA_MyCEB_01
MyCEB dan rakan industri Malaysia bersama wakil perniagaan Indonesia semasa Indonesia Roadshow 2026 di Surabaya. - Foto MyCEB

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, hubungan lebih erat dengan pemain industri Indonesia penting bagi membuka peluang perniagaan baharu dan memperluas kedudukan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan bertaraf dunia.

“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran Acara Perniagaan terpenting bagi Malaysia, dan usaha memperkukuh hubungan dengan rakan industri di negara ini merupakan antara keutamaan MyCEB.

“Menerusi jelajah promosi ini, kami menegaskan semula komitmen untuk mempererat kerjasama, membuka peluang perniagaan baharu serta mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan bertaraf dunia.

“Selain memiliki infrastruktur dan tempat acara yang cemerlang, Malaysia turut menawarkan sokongan menyeluruh kepada penganjur, kepelbagaian pengalaman serta layanan mesra yang menjadi keistimewaan negara, sekali gus menjadikan setiap acara suatu pengalaman yang benar-benar bermakna,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
 

Image
INSERT_MYCEB INDONESIA_MyCEB_02
Sesi perbincangan bersama rakan industri Malaysia dan wakil perniagaan Indonesia semasa Indonesia Roadshow 2026 di Surabaya. - Foto MyCEB


Indonesia Roadshow 2026 turut merangkumi sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), rangkaian dan pembentangan destinasi, dengan tumpuan kepada peluang mesyuarat, perjalanan insentif, persidangan dan pameran.

Dianjurkan bagi menyokong Visit Malaysia 2026 (VM2026), inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan pasaran antarabangsa MyCEB untuk menarik lebih banyak Acara Perniagaan ke Malaysia.

Sektor berkenaan turut menyumbang kepada ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan pelawat, tempoh penginapan yang lebih panjang dan manfaat kepada sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelancongan.

Dengan Indonesia terus menjadi salah satu pasaran serantau utama Malaysia, MyCEB kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pemegang taruh industri dalam menarik Acara Perniagaan berkualiti yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan terkemuka di Asia Tenggara.
 

Image
INSERT_MYCEB INDONESIA_MyCEB_03
Sesi perbincangan antara peserta bagi mengukuhkan hubungan perniagaan semasa Indonesia Roadshow 2026 di Jakarta. - Foto MyCEB

Must Watch Video

Advertisement