Skip to main content

Dunia

Semua pilihan hubungan UK-EU terbuka, termasuk sertai semula blok itu - Miliband

Miliband berkata dunia telah berubah dengan ketara sejak pungutan suara pada 2016 yang menyaksikan rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan EU. - Foto REUTERS
Miliband berkata dunia telah berubah dengan ketara sejak pungutan suara pada 2016 yang menyaksikan rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan EU. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri UK Andy Burnham akan memulakan rundingan tidak rasmi dengan EU untuk meneliti pilihan hubungan masa depan, termasuk kemungkinan menyertai semula blok itu.
  • Tiga perjanjian penting UK-EU dimeterai, termasuk perdagangan makanan, sistem perdagangan pelepasan karbon, dan skim pengalaman belia, dengan pelaksanaan bermula 2028.
  • Isu yuran pengajian pelajar EU di UK masih menjadi halangan, dengan rundingan sedang berlangsung untuk mencapai persetujuan dalam tempoh enam bulan.
Advertisement

LONDON: Kemungkinan United Kingdom (UK) menyertai semula Kesatuan Eropah (EU) akan menjadi antara pilihan yang dipertimbangkan apabila Perdana Menteri Britain Andy Burnham memulakan rundingan tidak rasmi dengan Brussels, kata Setiausaha Luar Ed Miliband, lapor PA Media/dpa.

Burnham berhasrat mengadakan perbincangan awal dengan EU dalam tempoh 12 bulan akan datang mengenai pilihan yang tersedia bagi hubungan masa depan kedua-dua pihak, selepas menyatakan bahawa perjanjian yang dicapai dengan Brussels pada Jumaat merupakan had pencapaian yang boleh diraih sebelum pilihan raya akan datang.

Miliband berkata dunia telah berubah dengan ketara sejak pungutan suara pada 2016 yang menyaksikan rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan EU.

Advertisement

Ketika ditanya dalam program "Sunday With Laura Kuenssberg" terbitan BBC sama ada penyertaan semula ke dalam blok itu akan dipertimbangkan, beliau berkata "sudah tentu semua pilihan akan dipertimbangkan".

"Kami akan meneliti manfaat dan kos bagi semua pilihan yang berbeza," katanya.

Advertisement

Burnham masih berpegang pada pendirian yang digariskan dalam manifesto Parti Buruh pada 2024, yang menolak penyertaan dalam pasaran tunggal atau kesatuan kastam EU serta pelaksanaan semula kebebasan pergerakan dalam blok itu.

Bagaimanapun, beliau akan menggunakan pembentangan pelan 10 tahunnya pada bulan depan untuk menggariskan langkah yang boleh merapatkan hubungan UK dengan EU selepas penggal Parlimen semasa, dengan perbincangan tidak rasmi dijadualkan berlangsung bersama Brussels menjelang sidang kemuncak tahunan UK-EU yang akan datang.

Miliband berkata beliau menerima keputusan pungutan suara 2016, namun menegaskan bahawa "dunia telah berubah dengan ketara".

"Eropah juga sedang berubah, jadi kita perlu meneliti apakah maknanya.

"Ini bukan mengenai penggal Parlimen ini. Kami menghormati batasan yang telah ditetapkan bagi penggal Parlimen ini," katanya.

Pada Jumaat, Burnham memeterai tiga perjanjian penting dengan EU di ibu negara Belgium.

Perjanjian perdagangan makanan, yang secara rasmi dikenali sebagai perjanjian sanitari dan fitosanitari (SPS), akan menamatkan kebanyakan pemeriksaan dan sekatan pasca-Brexit terhadap produk makanan dan pertanian mulai 1 Mac 2028.

Perjanjian sistem perdagangan pelepasan karbon (ETS), yang akan berkuat kuasa pada awal 2028, pula membolehkan eksport Britain bernilai £6.5 bilion (US$8.35 bilion), termasuk daripada industri keluli dan aluminium, dikecualikan daripada cukai karbon sempadan EU.

Sementara itu, skim pengalaman belia akan membolehkan rakyat UK dan EU berusia antara 18 hingga 31 tahun tinggal dan bekerja di wilayah masing-masing sehingga tiga tahun, dengan 100,000 visa disediakan setiap tahun.

Menurut dokumen kerajaan UK, kumpulan belia pertama yang menyertai skim itu akan memulakan perjalanan mereka "selewat-lewatnya Januari 2030".

Bagaimanapun, isu yuran pengajian yang dikenakan terhadap pelajar EU di universiti Britain masih berpotensi menjadi halangan.

Tempoh enam bulan ditetapkan untuk mencapai persetujuan selepas negara anggota EU menggesa supaya pelajar mereka dikenakan kadar yuran yang sama seperti pelajar Britain.

Langkah itu bermakna yuran pengajian yang kini mencecah £38,000 setahun perlu dikurangkan kepada £9,970, sesuatu yang ditentang UK kerana kesan kewangannya terhadap universiti.

Pertikaian itu menimbulkan keraguan di Brussels sama ada perjanjian lain akan dilaksanakan sekiranya UK tidak memenuhi tuntutan EU.

Bagaimanapun, Miliband berkata adalah "amat jelas" bahawa perjanjian berkenaan akan dilaksanakan.

"Tarikh pelaksanaannya telah ditetapkan pada 2028. Kami sedang memperkenalkan perundangan di Parlimen, jadi sudah pasti ia akan dilaksanakan," kata Setiausaha Luar UK itu.

Beliau berkata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen telah menjelaskan bahawa "terdapat tiga perjanjian berkenaan, manakala isu yuran pengajian merupakan perkara berasingan yang terkandung dalam dokumen berasingan".

Kerajaan telah diberi amaran bahawa pengurangan yuran pengajian pelajar EU kepada kadar yang sama seperti pelajar prasiswazah tempatan boleh menelan belanja kira-kira £500 juta setahun dan berpotensi mengurangkan tempat yang tersedia untuk golongan muda Britain.

Naib Canselor University of Manchester Profesor Duncan Ivison berkata hubungan erat antara UK dan EU merupakan "perkara yang baik", namun isu yuran pengajian perlu diselesaikan kerana ia melibatkan kos.

"Jika tiada langkah diambil untuk memberikan pampasan atau menyediakan pembiayaan tambahan, kami menganggarkan sebanyak £500 juta akan terjejas daripada sektor pendidikan tinggi ketika sektor itu sedang berdepan tekanan yang besar," katanya.

Beliau memberitahu program "Today" di BBC Radio 4 bahawa sekiranya pelajar EU membayar yuran pada kadar pelajar tempatan, masih belum jelas sama ada universiti mampu menambah bilangan tempat untuk pelajar EU.

Menteri Kabinet Angela Eagle berkata Perbendaharaan dan Jabatan Pendidikan akan bekerjasama dengan universiti sepanjang rundingan mengenai yuran pengajian itu.

Setiausaha Alam Sekitar itu memberitahu program "Breakfast" terbitan BBC bahawa tiada pihak mahu memeterai perjanjian yang membawa kesan negatif.

"Kami mahukan perjanjian yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

UK mendakwa perjanjian yang dimeterai pada Jumaat akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 0.5 peratus, bersamaan rangsangan ekonomi bernilai £17 bilion, menjelang 2040.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement