KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan media sebagai persediaan menjelang Malaysia Business Events Week (MBEW) 2026, selaras dengan usaha meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan di Asia.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi sesi Media Engagement (Vol. 2) yang menghimpunkan pengarang berita, wartawan dan rakan media untuk berkongsi pencapaian terkini, hala tuju strategik serta persiapan penganjuran MBEW 2026.
Sesi berkenaan turut menjadi platform MyCEB untuk menghargai sumbangan media dalam meningkatkan keterlihatan dan mempromosikan perkembangan industri acara perniagaan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata sehingga 30 Jun 2026, MyCEB berjaya memperoleh 416 acara perniagaan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung daripada 2026 sehingga 2030, dengan unjuran Impak Ekonomi Dianggarkan (Estimated Economic Impact, EEI) sebanyak RM3.98 bilion.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan berterusan penganjur antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia, disokong oleh ekosistem industri yang kukuh serta layanan hospitaliti bertaraf dunia,” katanya pada sesi Media Engagement (Vol. 2), di sini, Jumaat lalu.
Menurut Tan, MyCEB akan terus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global menerusi pelaksanaan misi jualan antarabangsa, kerjasama strategik, pengukuhan komunikasi media dan digital serta pelbagai inisiatif pembangunan industri yang menyokong pertumbuhan mampan sektor acara perniagaan.
Pada majlis sama, MyCEB turut memperkenalkan edisi sulung BE Horizon Bulletin, sebuah penerbitan baharu yang menghimpunkan pandangan pasaran, perkembangan industri dan kemas kini berkaitan landskap acara perniagaan Malaysia.
Penerbitan itu bertujuan memperluas perkongsian maklumat serta menyediakan rujukan yang relevan kepada pemain industri dan pihak berkepentingan.
Tan turut mengalu-alukan penyertaan pengamal media ke MBEW 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur daripada 3 sehingga 5 Ogos 2026 dengan tema “Weaving Horizons: Shaping the Tapestry of Tomorrow.”
“Media sentiasa menjadi antara rakan strategik paling bernilai kepada MyCEB. Kami menantikan kehadiran rakan-rakan media di MBEW 2026 untuk bersama-sama mengetengahkan kisah kejayaan industri acara perniagaan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.
MyCEB kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pemain industri dan rakan media bagi menarik lebih banyak acara perniagaan dan acara sukan antarabangsa bernilai tinggi yang mampu menjana manfaat ekonomi, sosial serta pembangunan berasaskan ilmu kepada Malaysia.