Skip to main content

Bisnes

Mydin buka pasar raya pertama di KITA@Cybersouth

(Dari kiri ke kanan) Datuk Wira Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS; Tan Sri Dato' Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS; Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN; dan Tuan Ahimmat Mydin, Pengarah Eksekutif MYDIN, di majlis pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di KITA @ Cybersouth, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan komersial bandar tersebut.
(Dari kiri ke kanan), Lim Hock Guan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, Ameer Ali Mydin dan Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin pada majlis pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di KITA @ Cybersouth, baru-baru ini.
Advertisement

DENGKIL: LBS Bina Group Bhd (LBS) terus mengukuhkan komponen komersial pembangunan KITA@Cybersouth menerusi kemasukan MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin) sebagai pasar raya pertama yang bakal beroperasi di perbandaran berkenaan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Penyewaan antara kedua-dua pihak, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan berterusan KITA@Cybersouth serta memperkukuh ekosistem komersial bagi menyokong transformasi kawasan itu sebagai komuniti moden yang dinamik dan saling berhubung.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Datuk Lim Hock Guan berkata, kemasukan Mydin selari dengan usaha syarikat untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan di KITA@Cybersouth berkembang seiring dengan pertumbuhan populasi penduduk.

Menurutnya, kehadiran rangkaian peruncitan tempatan itu akan membantu melengkapkan keperluan harian komuniti selain menambah nilai kepada penawaran komersial sedia ada di kawasan berkenaan.

"Mydin merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai dan mempunyai pemahaman kukuh terhadap keperluan pengguna Malaysia. Kehadirannya sebagai pasar raya pertama di KITA@Cybersouth merupakan satu lagi langkah penting ke arah mewujudkan komuniti yang lebih lengkap dan mampan.

"Kami yakin ia bukan sahaja menawarkan kemudahan membeli-belah kepada penduduk, malah berfungsi sebagai ruang komuniti yang dapat menyemarakkan aktiviti ekonomi dan sosial di perbandaran ini," katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Hock Guan bersama Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dalam satu majlis yang berlangsung di Galeri Penemuan LBS, KITA@Cybersouth baru-baru ini.

KITA@Cybersouth yang dianggarkan menempatkan kira-kira 67,000 penduduk disokong oleh demografi komuniti yang majoritinya terdiri daripada golongan muda, dengan sekitar 63 peratus pembeli berusia 40 tahun ke bawah.

Setakat ini, pembangunan itu dirancang merangkumi kira-kira 16,000 unit keseluruhan, dengan sekitar 40 peratus telah siap dibangunkan, manakala lima peratus lagi sedang dalam pembinaan dan baki 55 peratus masih berada pada peringkat perancangan.

Sementara itu, Ameer berkata, kerjasama dengan LBS merupakan langkah strategik yang mencerminkan keyakinan Mydin terhadap potensi pertumbuhan pesat kawasan Cybersouth.

Beliau berkata, pembukaan pasar raya pertama Mydin di KITA@Cybersouth sejajar dengan pertambahan penduduk, khususnya dalam kalangan keluarga muda yang memilih menetap di kawasan itu.

"Kami mahu Mydin menjadi lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah. Kami mahu menjadi sebahagian daripada komuniti yang sedang berkembang ini dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan serta menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa kepada penduduk," katanya.

Kehadiran Mydin dijangka menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan komersial KITA@Cybersouth selain meningkatkan kemudahan serta kualiti hidup komuniti yang menetap di perbandaran berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement