Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Brazil dapat diperkukuh di bawah kepimpinan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
- Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lula atas kemenangan pilihan raya dan menekankan potensi kerjasama ASEAN-Amerika Latin.
- Lula memenangi pusingan kedua pilihan raya presiden Brazil dengan 51.8 peratus undi, mengekalkan jawatan untuk penggal keempat.
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap dapat memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Brazil dan menggalakkan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Latin di bawah kepimpinan berterusan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Lula atas kemenangan pilihan raya, sambil menyatakan bahawa persaingan sengit itu telah memberikan mandat baharu kepada pemimpin Brazil berkenaan daripada rakyatnya.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada sahabat saya, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva atas kemenangan bersejarah beliau dalam pilihan raya di Brazil.
"Banyak yang boleh kita lakukan bersama: memperkukuh perdagangan dan pelaburan, menggalakkan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Latin dan mengeratkan perkongsian antara kedua-dua negara," kata beliau menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Perdana Menteri berkata komitmen Lula sepanjang hayat terhadap keadilan sosial, usaha membasmi kemiskinan dan memastikan suara dari negara membangun didengari telah meraih penghormatan melangkaui Brazil.
"Saya sentiasa menghargai persahabatan kami, dan saya berkongsi keyakinan beliau bahawa negara-negara Selatan Global perlu mempunyai suara yang lebih lantang dalam membentuk aturan antarabangsa yang adil," kata beliau.
Pada Ahad lepas, Lula memenangi pusingan kedua pilihan raya presiden negara itu selepas memperoleh kira-kira 51.8 peratus undi berbanding 48.2 peratus undi yang diraih pencabarnya Senator Flavio Bolsonaro, sekali gus berjaya mempertahankan jawatannya bagi penggal keempat sebagai ketua negara berkenaan.
-- BERNAMA