MYDIN jangka kurangkan pekerja dengan pusat agihan automasi baharu bernilai RM447 juta

Ameer berkata kemudahan baharu itu yang akan beroperasi dengan tahap automasi 70 peratus hanya memerlukan 132 pekerja berbanding sedia ada yang menggaji seramai 350 pekerja. - Gambar fail/FB Ameer Ali Mydin
KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) menjangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing menerusi pembangunan pusat pengagihan automasi baharu (MDC) berskala nasional bernilai RM447 juta yang terletak di Elmina, Selangor.
Ringkasan AI
- Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing melalui pembangunan pusat pengagihan automasi baharu bernilai RM447 juta di Elmina, Selangor.
- Pusat pengagihan automasi ini hanya memerlukan 132 pekerja berbanding 350 pekerja di pusat Shah Alam, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
- Pusat pengagihan automasi ini, dijangka siap pada suku ketiga 2027, akan menjadi pusat agihan berskala nasional bagi rangkaian Mydin, menyokong peluasan operasi kepada lebih 110 cawangan di seluruh negara.
"Dengan MDC baharu ini, kami menjangka pengurangan ketara dalam kebergantungan kepada pekerja asing memandangkan kemudahan tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh 132 pekerja, terutama hasil pelaksanaan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS)," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah MDC Mydin Elmina, di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan ASRS akan membolehkan tenaga kerja dialihkan kepada fungsi bernilai tinggi selain meningkatkan kecekapan operasi.
Kemudahan itu juga, katanya mampu mengendalikan 10,200 palet sehari jauh lebih tinggi berbanding 1,800 palet di pusat sedia ada.
Mengenai MDC, ia dibangunkan bersama Sime Darby Property Bhd di atas kawasan seluas 7.6 hektar dan dijangka siap pada suku ketiga 2027.
"MDC ini akan menjadi pusat agihan berskala nasional bagi rangkaian Mydin di seluruh negara, menyokong peluasan operasi kami kepada lebih 110 cawangan apabila ia siap kelak," kata Ameer Ali.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Datuk Seri Azmir Merican berkata projek tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan rantaian bekalan dan logistik negara, selaras usaha Malaysia mempercepat automasi dan pendigitalan.
Beliau berkata kemudahan baharu itu dijangka menghasilkan peningkatan produktiviti dengan ketara, termasuk kenaikan 240 peratus dalam kapasiti throughput, peningkatan 36 peratus dalam kecekapan penyimpanan palet serta lebih 50 peratus pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


