SINGAPURA: Nadiah Wan, ahli perniagaan wanita dari Malaysia berusia 37 tahun disenaraikan dalam 'Power Businesswomen 2021' oleh Forbes Asia yang mengiktiraf 20 pemimpin perniagaan wanita yang cemerlang di rantau Asia-Pasifik.

Menurut Forbes, Nadiah yang memegang dua jawatan ketua pegawai eksekutif merupakan individu paling muda dalam senarai itu tahun ini.

"Ahli perniagaan wanita di seluruh rantau Asia Pasifik terus mengatasi cabaran dan ramai yang memperluas perniagaan masing-masing walaupun menghadapi pandemik yang masih berterusan," kata Rana Wehbe Watson, editor senarai 'Power Businesswomen' 2021 di Asia, dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata senarai 'Power Businesswomen' tahun ini mengiktiraf 20 pemimpin cemerlang yang berjaya menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam industri termasuk teknologi, penjagaan kesihatan, perbankan dan pembuatan.

"Mereka menerajuinya ketika dunia bergelut dengan realiti pasca-COVID-19," katanya.

Semua ahli perniagaan wanita yang diketengahkan tahun ini ialah individu baru dalam senarai itu, sekali gus memperluas lagi rangkaian ahli perniagaan wanita terkemuka Forbes Asia di rantau ini.

"Mereka dipilih atas pencapaian masing-masing dalam menguruskan sama ada perniagaan dengan perolehan yang besar atau syarikat pemula niaga bernilai lebih US$100 juta (US$1=RM4.15)," katanya.

Nadiah, satu-satunya rakyat Malaysia yang berada dalam senarai itu tahun ini, merupakan pengarah eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif TMC Life Sciences, sejak 2019.

Beliau juga ialah ketua pegawai eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara, jawatan yang dipegangnya sejak 2017.

Wanita ini turut memperkenalkan pasukan petugas COVID-19 di hospital itu selain melancarkan aplikasi mudah alih yang menyediakan penjagaan pesakit secara menyeluruh jarak jauh daripada proses janji temu, saringan dan penilaian sehingga proses perkhidmatan pemulihan dan penghantaran ubat.

Penutupan sempadan negara telah menjejaskan pelancongan perubatan dan bahagian fertiliti yang menyumbang 20 peratus daripada perolehan TMC.

Namun, syarikat tersenarai Malaysia itu mencatatkan perolehan sebanyak RM201 juta, meningkat 6.0 peratus, bagi tahun berakhir pada Jun manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM20 juta, melonjak 86 peratus tahun ke tahun, terutama didorong liabiliti cukai tertunda.

Pelan peluasan TMC termasuk kapasiti tiga kali ganda di hospital kepada 600 katil dan menambah dua makmal pengkateteran, 154 klinik pesakit luar, 11 suite bersalin, dan 10 dewan bedah.

Senarai lengkap 20 wanita ini, dalam lingkungan 30-an hingga 70-an dari seluruh rantau Asia-Pasifik, boleh didapati di www.forbes.com/asiapowerbusinesswomen2021 dan di dalam Forbes Asia edisi November.

-- BERNAMA