NEA 2025: MATRADE iktiraf syarikat, pacu revolusi eksport

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) ketika di Majlis Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025 di Kuala Lumpur. - Foto MATRADE
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melancarkan Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025, sebuah inisiatif berprestij yang mengiktiraf pengeksport cemerlang negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas perdagangan global.
Ringkasan AI
- MATRADE melancarkan Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025, sebuah inisiatif berprestij yang mengiktiraf pengeksport cemerlang negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas perdagangan global.
- NEA 2025 menjadi wadah strategik untuk memberi penghormatan kepada syarikat tempatan yang berjaya memperluas pasaran, memacu inovasi dan menjunjung kelestarian dalam operasi eksport mereka.
- Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menyifatkan NEA 2025 sebagai platform penting untuk mengiktiraf peranan syarikat Malaysia yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri untuk Belanjawan 2026 kerana kita menerima buat kali pertama dana paling tertinggi iaitu RM60 juta geran pembangunan pemasaran (MDG) dan untuk itu kita nak ada tujuan pengiktirafan kepada syarikat-syarikat PKS, syarikat-syarikat pemula, teknologi, usahawan putra, belia dan wanita serta kategori-kategori lain yang kita anggap akan membantu menjana ekonomi mampan untuk negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika berucap di majlis menekankan kepentingan hasil eksport dihasilkan oleh Malaysia. - Foto MATRADE
Beliau menambah, NEA diadakan bagi menzahirkan transformasi ke arah memperkukuh jenama “Made by Malaysia” sebagai simbol keupayaan dan nilai sebenar daya saing ekonomi negara.
“Tahun depan saya ingin melihat perubahan, dalam apa yang kita panggil dihasilkan di Malaysia, MNC terlibat, melabur dan kemudian mengeksport dan perkara itu haruslah daripada hasil dibuat di Malaysia.
“Apa yang saya ingin ubah ialah hasil dibuat oleh Malaysia sebab apabila anda katakan ia dibuat oleh Malaysia, itu lonjakan saiz dalam daya tarikan ekonomi sekaligus menjadi lebih bermakna kepada negara. Inilah antara sebab utama NEA diadakan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan bahawa prestasi eksport Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.
“Prestasi eksport Malaysia yang kukuh di sebalik ketidaktentuan global mencerminkan kecekapan dan daya tahan pemain industri kita. Ramai pengeksport kita menjadi pemangkin inovasi, berdaya tahan tinggi dan pemacu pertumbuhan inklusif serta mampan.
“NEA 2025 mengiktiraf kecemerlangan ini dengan meraikan pengeksport yang berjaya membina perniagaan yang bersedia untuk masa depan, dipacu inovasi dan mampan,” katanya.
NEA 2025 akan mengiktiraf 21 pengeksport terbaik merangkumi tujuh kategori utama termasuk syarikat besar, multinasional, syarikat pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kategori kemunculan baharu, Bumiputera, belia dan wanita.
Bagi Edisi 2025, NEA menampilkan tujuh kategori anugerah bagi mengiktiraf kecemerlangan meliputi pelbagai saiz syarikat dan demografi seperti yang tertera:
- Pengeksport Terbaik – Syarikat Besar
- Pengeksport Terbaik – Syarikat Multinasional
- Pengeksport Terbaik – Syarikat Pertengahan
- PKS Pengeksport Terbaik – Kemunculan Baharu
- PKS Pengeksport Terbaik – Bumiputera
- PKS Pengeksport Terbaik – Belia
- PKS Pengeksport Terbaik – Wanita

Gimik pelancaran Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025 berlangsung dengan meriah. - Foto MATRADE
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata NEA 2025 bukan sekadar penghargaan tetapi simbol aspirasi negara untuk menjadikan perdagangan sebagai pemacu kemakmuran inklusif.
“NEA meraikan pemacu sebenar perdagangan Malaysia, menerusi perniagaan yang mengutamakan kelestarian, berinovasi dengan matlamat yang jelas dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai rakan dagang global yang dipercayai.
“Seiring dengan peralihan jangkaan global ke arah perdagangan yang lebih mampan, para pengeksport juga perlu menyahut cabaran ini. Anugerah ini mengiktiraf mereka yang menerajui, serta mendorong para pengeksport lain untuk turut serta,” tambahnya.
NEA 2025 dijangka menjadi pemangkin baharu dalam ekosistem eksport negara sekaligus menyemarakkan aspirasi syarikat tempatan untuk bersaing secara beretika, lestari dan berimpak tinggi di pasaran global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami