CALIFORNIA: Netflix mengumumkan bahawa syarikat itu menarik diri daripada menaikkan tawarannya untuk mengambil alih Warner Bros, sekali gus membuka laluan kepada Paramount Skydance untuk muncul sebagai pembida pilihan.
Keputusan itu dibuat selepas Netflix dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah Warner Bros. Discovery (WBD) menilai cadangan terbaharu Paramount Skydance sebagai “Cadangan Lebih Unggul” berbanding tawaran Netflix di bawah perjanjian penggabungan sedia ada.
Advertisement
Dalam kenyataan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Ted Sarandos dan Greg Peters, Netflix menegaskan, keputusan menarik diri dibuat atas faktor kewangan.
“Transaksi yang kami rundingkan menawarkan nilai kepada pemegang saham dengan laluan yang jelas untuk kelulusan pengawalseliaan.
"Namun pada harga yang diperlukan untuk menyamai tawaran Paramount Skydance, ia tidak lagi berdaya maju dari sudut kewangan. Justeru, kami memilih untuk tidak membida semula,” katanya.
Netflix turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan WBD yang menjalankan proses penilaian secara telus dan menyeluruh.
“Warner Bros adalah organisasi bertaraf dunia. Kami percaya kami mampu menjadi penjaga yang baik untuk jenama ikonik mereka, dan urus janji ini berpotensi mengukuhkan industri hiburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Amerika Syarikat,” kata syarikat itu.
Namun jelas Netflix, pengambilalihan itu hanyalah “kesempatan menarik pada harga sesuai” dan bukan keperluan strategik utama.
Di sebalik keputusan melepas peluang pengambilalihan itu, Netflix menekankan bahawa perniagaan syarikat kekal mantap dan berkembang secara organik.
Syarikat itu merancang melabur sekitar AS$20 bilion tahun ini dalam penerbitan filem serta siri berkualiti, selain meneruskan peluasan portfolio hiburannya.
Netflix juga mengesahkan bahawa program pembelian balik saham akan disambung semula mengikut dasar pengagihan modal syarikat.
“Kami akan terus melakukan apa yang telah kami lakukan selama lebih 20 tahun -menggembirakan pelanggan, mengembangkan perniagaan secara menguntungkan dan memacu nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” jelas Netflix lagi. - Agensi