Skip to main content

Malaysia

MBPP beri amaran kepada pengusaha gerai lekat logo halal tanpa kebenaran

SIARAN MEDIA KENYATAAN MEDIA MAKLUM BALAS ISU TULAR “STICKER” LOGO HALAL ATAS MEJA MAKAN DI PREMIS MAKANAN_FB Majlis Bandaraya Pulau Pinang - MBPP
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi amaran kepada pengusaha sebuah gerai burger di medan selera di Jalan Terengganu, George Town kerana menggunakan pelekat logo halal tanpa kelulusan pada meja makan yang boleh menimbulkan isu perkauman. - Foto Facebook MBPP

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi amaran kepada pengusaha sebuah gerai burger di medan selera di Jalan Terengganu di sini kerana menggunakan pelekat logo halal tanpa kelulusan pada meja makan yang boleh menimbulkan isu perkauman.

MBPP dalam kenyataan malam ini memaklumkan tindakan itu diambil selepas siasatan dijalankan susulan isu tular menerusi media sosial yang mendakwa terdapat pengasingan pelanggan Muslim dan bukan Muslim di premis makanan di kawasan tersebut.

"MBPP ingin menegaskan dan menafikan sekeras-kerasnya bahawa insiden atau pelaksanaan itu berlaku di mana-mana premis makanan, pasar awam, atau kompleks makanan di bawah seliaan dan pengurusan MBPP.

“Perkara tersebut juga sama sekali tidak pernah terkandung di dalam mana-mana dasar atau polisi rasmi MBPP," menurut kenyataan itu.

MBPP memaklumkan siasatan mendapati sebuah gerai burger baharu yang beroperasi di dalam premis kedai makanan swasta itu melekatkan logo halal pada tiga meja berkenaan bagi mengelakkan ia digunakan oleh pelanggan yang menikmati makanan tidak halal.

"Pemilik premis telah mematuhi arahan jabatan dan mengeluarkan semua pelekat yang dilekatkan itu dengan segera," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement