WASHINGTON: Harapan menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran dilihat semakin malap selepas usaha memulakan pusingan baharu rundingan di Islamabad, Pakistan menemui jalan buntu pada Ahad.
Presiden AS, Donald Trump dilapor membatalkan kunjungan utusan khasnya, Steve Witkoff dan Jared Kushner ke Pakistan, manakala Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pula dilapor meninggalkan Islamabad untuk ke Oman bagi meneruskan misi diplomatik berasingan.
Advertisement
Walaupun gencatan senjata sementara berjaya meredakan pertempuran berskala besar yang tercetus sejak 28 Februari lalu, kedua-dua pihak masih gagal mencapai kata sepakat berhubung syarat penamatan perang, yang telah mengorbankan ribuan nyawa selain mencetuskan lonjakan harga minyak global.
Menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan Tehran tidak akan menyertai sebarang 'rundingan paksaan' yang berlangsung di bawah ancaman atau sekatan maritim.
Beliau menuntut agar AS menarik balik sekatan pelabuhan terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan asas dapat dimulakan.
Dalam pada itu, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social mendakwa wujud kekeliruan dalam kepimpinan Iran dan menegaskan tawaran yang dikemukakan Tehran setakat ini masih belum mencukupi.
Beliau turut mendakwa AS berada pada kedudukan yang lebih menguntungkan dalam konflik itu dan hanya bersedia untuk berunding sekiranya Iran menunjukkan kesungguhan sebenar.
Konflik berkenaan terus menjejaskan kestabilan Asia Barat, apabila Tehran sebelum ini dilaporkan melancarkan serangan ke atas beberapa negara jiran di rantau Teluk, selain ketegangan yang kembali memuncak antara Israel dan pejuang Hezbollah di Lubnan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu dilapor mengarahkan angkatan tenteranya melancarkan serangan ke atas sasaran pejuang di Lubnan, sekali gus menguji keberkesanan gencatan senjata sedia ada di negara itu.
Araqchi bagaimanapun menyifatkan lawatan beliau ke Pakistan sebagai sangat membuahkan hasil sebelum berlepas ke Oman untuk bertemu Sultan Haitham bin Tariq al-Said, dan dijadualkan meneruskan siri lawatan diplomatik ke Rusia selepas itu.