DAMSYIK: Suasana di Mahkamah Jenayah Khas Syria bertukar kecoh seketika apabila orang awam melihat Atef Najib duduk di kandang tertuduh, hari ini.
Insiden itu berlaku ketika perbicaraan terbuka pertama melibatkan Atef, 66, yang merupakan brigadier jeneral tentera dan ketua unit keselamatan biro politik negara serta sepupu kepada bekas Presiden Syria yang digulingkan, Bashar al-Assad.
Advertisement
Rakaman di platform X oleh wartawan tempatan, Jamil Al-Hasaan memaparkan suasana di mahkamah apabila orang awam yang hadir dilaporkan melaungkan slogan “Allahu Akbar” sambil menzahirkan kemarahan di hadapan Atef yang ketika itu hanya tertunduk diam dengan berpakaian seragam tahanan.
Atef ditahan pada Januari 2025 sebelum dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan berkaitan peristiwa di Daraa.
Beliau didakwa bertanggungjawab terhadap penahanan Mouawiya Syasneh, seorang remaja berusia 14 tahun yang ditahan selepas melukis grafiti di dinding sekolah pada 2011.
Lukisan grafiti tersebut mengandungi perkataan “kini giliran anda doktor”, merujuk kepada Bashar yang merupakan bekas pengamal perubatan sebelum mengambil alih jawatan presiden daripada bapanya, Hafez al-Assad pada tahun 2000.
Penahanan remaja itu pada ketika itu mencetuskan protes di Daraa, sebelum merebak menjadi demonstrasi besar-besaran terhadap kerajaan.
Selain itu, Atef turut dikaitkan dengan penahanan Hamza Ali al-Khateeb, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang kemudiannya dilaporkan meninggal dunia akibat penderaan ketika dalam tahanan pada 29 April 2011.
Insiden tersebut menjadi antara pencetus utama gelombang protes nasional yang akhirnya membawa kepada konflik bersenjata berpanjangan di Syria selama lebih sedekad.
Konflik itu menyaksikan pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pembangkang termasuk Free Syrian Army (FSA), sebelum terbentuknya kerajaan interim baharu di bawah pimpinan Presiden, Ahmed al-Sharaa pada Disember 2024.
Pada masa sama, Assad dan abangnya, Maher al-Assad selaku bekas komander tentera Syria turut didakwa secara in abstentia bersama beberapa kolaborator yang lain.
Pada 24 April lalu, pihak berkuasa Syria turut menahan bekas komander unit keselematan ketenteraan di bawah rejim Assad, Amjad Youssef di sebuah desa di Hama.
Amjad dipercayai suspek utama tragedi Tadamon 2013 yang mengorbankan seramai 288 orang awam ketika kejadian tersebut berlaku pada tahun 2013.