DUBAI: Northport (Malaysia) Bhd, ahli Kumpulan MMC dan Sea Hawk Lines Shipping LLC menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik untuk membangunkan perniagaan pukal cecair konvensional di Northport.

Perjanjian tersebut memeterai komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman, kepakaran, keupayaan teknikal, sumber dan pengetahuan masing-masing bagi menjadikan Northport sebagai hab pengedaran serantau untuk pelanggan pukal cecair Sea Hawk di rantau ASEAN.

"Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan Northport sejak 5 tahun lalu, kami telah mewujudkan kawasan dan menambah kemudahan baharu untuk pengendalian kargo konvensional.

‘’Bagi Northport, kerjasama ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk mengembangkan perniagaan pukal cecair, yang merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah keseluruhan kendalian kargo konvensional kami pada 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof.

Pertukaran dokumen perjanjian antara Azman dan Pengarah Sea Hawk, Mani Krishnan telah disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Datuk Mohd Tarid Sufian, dan Exco Industri dan Perdagangan Selangor Datuk Teng Chang Khim semasa majlis perasmian Minggu Selangor di Expo 2020 Dubai, pada Isnin.

Pada tahun lalu, Northport merekodkan 9,661,283 FWT (“Freight Weight Tonnes”) kendalian kargo, iaitu prestasi kedua tertinggi untuk kendalian kargo konvensional sejak penubuhan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada tahun 2000.

Perniagaan pukal cecair menyumbang 2,939,149 FWT atau 30.4 % daripada jumlah keseluruhan kendalian.

Sea Hawk, yang diperbadankan pada tahun 2016 di Dubai, UAE menyediakan perkhidmatan logistik dan pergudangan bersepadu termasuk operasi perkapalan, pelepasan kastam, dan pengendalian kereta terpakai dan kargo am di Dubai, UAE, dan Timur Tengah.

Mani Krishnan berkata, lokasi yang strategik adalah satu daripada faktor utama dalam keputusan kami untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab untuk operasi perniagaan Sea Hawk.

‘’Memandangkan Northport merupakan sebuah daripada pelabuhan di Pelabuhan Klang yang menyediakan kemudahan sesuai dengan keperluan perniagaan pelanggan pukal cecair kami, Sea Hawk merasa berbesar hati menjalin kerjasama ini dan kami berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan kami dengan Northport,” katanya.

Pada masa ini, Sea Hawk beroperasi di ruang gudang seluas 240,000 kaki persegi yang dimiliki oleh Northport dan syarikat tersebut sedang membangunkan tanah seluas 6.06 ekar untuk membina kemudahan gudang dengan keluasan 100,000 kaki persegi untuk hab mineral mereka di Northport.

“Kami amat yakin bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan kami berharap untuk terus meningkatkan kendalian kargo konvensional kami,” ujar Azman.

Pada tahun lalu, Northport telah mencatatkan prestasi pecah rekod untuk kendalian kontena tahunan tertinggi dalam sejarahnya selepas syarikat tersebut merekodkan sejumlah 3,324,364 TEU, meskipun berhadapan dengan dua cabaran yang besar, iaitu pandemik COVID-19 dan banjir kilat yang belum pernah dialami sebelumnya pada bulan Disember 2021, yang telah menjejaskan operasi perniagaan mereka.

Northport turut mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun lalu dengan pengendalian bulanan tertinggi untuk kargo konvensional pada Mei 2021. – DagangNews.com