Skip to main content

Malaysia

MTL: Kejadian banjir dijangka tidak seteruk 2021

Meor Ismail (duduk tengah) ketika sidang media pada Sesi libat Urus NADMA bersama Media:Kesiapsiagaan Kerajaan Manghadapi MTL Tahun 2026/2027 di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti hari ini. - Gambar Bernama
Meor Ismail (duduk tengah) ketika sidang media pada Sesi libat Urus NADMA bersama Media:Kesiapsiagaan Kerajaan Manghadapi MTL Tahun 2026/2027 di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

Advertisement

PUCHONG: Kejadian banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dijangka tidak seteruk bencana banjir besar yang melanda negara pada 2021, yang menyaksikan beberapa kawasan terjejas teruk.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata ia berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berhubung ramalan hujan susulan MTL yang telah bermula dan dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.

"Ikut ramalan setakat hari ini, banjir tahun ini dijangka paling kurang. Menurut MetMalaysia tahun ini paling kurang banjir dan kesan banjir…dan saya harap ramalan ini betul," katanya selepas Sesi Libat Urus Bersama Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL di sini hari ini.

Advertisement

Meor Ismail berkata persiapan menghadapi bencana banjir tidak akan dikurangkan walaupun unjuran awal menunjukkan risiko yang lebih rendah berlaku pada episod MTL kali ini.

Beliau berkata pengalaman mengendalikan operasi banjir sejak hampir lima tahun lepas menunjukkan kawasan yang jarang dilanda banjir lebih membimbangkan berikutan penduduk dan agensi berkaitan mungkin kurang bersedia menghadapi situasi berkenaan.

Advertisement

"Kawasan yang biasa banjir, apabila saya pergi saya tengok persiapan mereka okey. Pejabat daerah, polis, bomba daerah dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah biasa dengan cara mereka bertindak balas.

"Tetapi apabila saya pergi ke kawasan yang baru berlaku banjir, itu yang saya lebih risau. Saya takut ada yang alpa apabila ramalan menunjukkan banjir kurang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata MTL kali ini tetap dijangka menyaksikan episod hujan lebat, namun setakat ini tiada petunjuk menunjukkan keadaan cuaca ekstrem.

Beliau berkata pemantauan cuaca dilakukan setiap hari dan MetMalaysia mempunyai tiga kategori amaran hujan lebat iaitu kuning, jingga dan merah, yang dikeluarkan berdasarkan tahap kelebatan hujan yang dijangka.

Maqrun Fadzli berkata amaran berkenaan lazimnya dikeluarkan dalam tempoh satu hingga tiga hari lebih awal sekiranya terdapat keyakinan terhadap potensi hujan lebat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement