KUALA LUMPUR: NTT Ltd mengesahkan Malaysia akan menjadi sebahagian daripada konfigurasi rangkaian yang baru dirancang membabitkan projek kabel ekspres Intra-Asia, yang akan menyaksikan Malaysia mengambil bahagian dalam kabel bawah laut yang menghubungkan Jepun dan Filipina.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata demikian semasa perbahasan televisyen secara langsung mengenai dasar kabotaj negara dengan pemimpin DAP Lim Guan Eng, pada lewat malam tadi, yang mana Wee mendedahkan bahawa beliau telah bercakap dengan Naib Presiden NTT Ltd dari Jepun, Yoshio Sato.

NTT Ltd adalah syarikat Jepun yang terlibat dalam projek Kabel Apricot dan projek MIST (Malaysia, India, Singapura, Thailand), yang merupakan sistem kabel bawah laut 8,000 kilometer yang dijangka siap menjelang suku keempat 2022.

"Syarikat ini mempunyai rancangan terbaharu, yang mana, untuk membawa satu kabel yang dinamakan Projek Kabel Ekspes Intra-Asia ke Malaysia melalui Sabah dan Sarawak. Apakah ini tidak menguntungkan Malaysia? Agenda MyDigital yang kita idam-idamkan... sebab itu kementerian rasa terpanggil untuk membawa pelaburan masuk."

Wee akan membawa Sato untuk bertemu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mendapatkan sokongan.

"Kita akan membuat keputusan yang pantas supaya kita dapat memberikan sokongan kepada NTT, jadi tidak timbul dakwaan bahawa Kementerian Pengangkutan menyekat pelaburan asing," katanya.

Debat Dasar Kabotaj Negara: Wee Ka Siong dan Lim Guan Eng

Beliau menjelaskan syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kemampuan teknikal bagi melaksanakan projek sedemikian.

Pada 30 Sept, berlaku perdebatan hangat antara mereka di Parlimen selepas Lim bertanya Wee sama ada penyusunan semula dasar cabotaj untuk kerja pembaikan kabel dasar laut telah menyebabkan gergasi teknologi melangkau Malaysia dalam rancangan untuk memasang kabel bawah laut bagi meningkatkan kesalinghubungan Internet.

BACA: Dasar Kabotaj Negara tidak kekang pelaburan asing - Ka Siong 

Dasar kabotaj telah dilaksanakan pada 1980, dasar untuk kerja-kerja pembaikan kabel itu telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada April 2019, yang mengecualikan kapal-kapal yang terlibat dengan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kabel bawah laut daripada perlu memohon lesen perkapalan domestik.

Ia kemudian diperkenalkan semula oleh Wee pada 16 Nov 2020.

Pada masa ini, dasar kabotaj negara tidak meletakkan larangan ke atas kapal-kapal asing daripada membaiki kabel bawah laut di perairan Malaysia.

-- BERNAMA