KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, sekali gus mencatatkan kadar tidak berubah untuk kali kelapan berturut-turut sejak Julai 2025.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM hari ini.
Dalam kenyataan, BNM berkata ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Menurutnya, pertumbuhan itu didorong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan serta permintaan dalam negeri yang kekal mampan.
"Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka menyebabkan pertumbuhan bagi tahun 2026 pada sekitar lima peratus, dan asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada 2027," menurut kenyataan itu.
BNM menjelaskan pertumbuhan ekonomi akan terus disokong sektor luaran susulan prospek pertumbuhan global yang bertambah baik serta permintaan yang mampan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan eksport bukan E&E berkaitan teknologi.
Katanya, perbelanjaan pelancong yang berterusan, keadaan pasaran pekerja yang stabil serta aktiviti pelaburan yang berterusan turut menyokong permintaan dalam negeri.
Dalam pada itu, BNM berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini masing-masing berpurata pada 1.8 peratus dan dua peratus.
Menurutnya, meskipun kos kekal tinggi dan pertumbuhan ekonomi kukuh, pindahan kepada harga pengguna dibendung oleh langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil.
"Perkembangan berhubung dengan konflik di Asia Barat kekal tidak menentu kerana harga komoditi global yang tinggi terus memberikan tekanan menaik terhadap keadaan kos," ujar bank pusat itu lagi.
BNM menambah penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global kekal berdaya tahan, disokong pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.
Bagaimanapun, katanya, risiko pertumbuhan global menjadi lebih rendah terus wujud berikutan ketegangan geopolitik yang berlarutan, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta kebimbangan mengenai penilaian dalam pasaran kewangan.
Pada masa sama, BNM berkata potensi pertumbuhan global yang lebih tinggi boleh didorong perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, pemulihan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan serta langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju.
"Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan," menurut kenyataan itu.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek inflasi serta pertumbuhan dalam negeri.