Skip to main content

Bisnes

PayNet perluas penggunaan DuitNow QR ke lima negara melalui Alipay+

Dari kiri Pengurus Besar Alipay bagi Asia Tenggara, Australia, New Zealand dan Asia Selatan, Ant International, Michael Guo; Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan; Pengurus Besar Pusat Pertumbuhan Global Alipay, Ant International, Danny Chung dan Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor.
Dari kiri Pengurus Besar Alipay bagi Asia Tenggara, Australia, New Zealand dan Asia Selatan, Ant International, Michael Guo; Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan; Pengurus Besar Pusat Pertumbuhan Global Alipay, Ant International, Danny Chung dan Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Rakyat Malaysia kini boleh membuat pembayaran menggunakan DuitNow QR di lima negara melalui aplikasi perbankan mudah alih tempatan hasil kerjasama PayNet dan Alipay+.
  • Perkhidmatan ini tersedia untuk pelanggan Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank, dengan Bank Islam dijangka menyusul dalam masa terdekat.
  • PayNet merekodkan hampir 30 juta transaksi pembayaran rentas sempadan pada 2025, meningkat 150 peratus berbanding tahun sebelumnya.

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh menggunakan aplikasi perbankan mudah alih tempatan untuk membuat pembayaran menerusi DuitNow QR ketika berada di luar negara susulan pelancaran kemudahan baharu oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bersama platform pembayaran global Alipay+.

Kemudahan itu membolehkan pengguna membuat pembayaran terus di premis peniaga yang menyertai rangkaian Alipay+ di lima destinasi terpilih iaitu China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan atau membuka akaun baharu.

Pada fasa awal, perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada pelanggan Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank, manakala Bank Islam dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan ketersambungan pembayaran rentas sempadan yang lebih mudah, selamat dan efisien untuk pengguna Malaysia.

Menurut beliau, pengalaman pembayaran di luar negara seharusnya semudah melakukan transaksi di dalam negara, sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia ketika melancong atau menjalankan urusan perniagaan di luar negara.

"Pelancaran berkenaan juga mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara PayNet dan Alipay+, yang sebelum ini membolehkan pelancong antarabangsa menggunakan dompet digital rakan kongsi Alipay+ untuk membuat pembayaran di premis yang menerima DuitNow QR di Malaysia sejak November 2023," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PayNet mendedahkan jumlah transaksi pembayaran rentas sempadan yang direkodkan pada 2025 mencecah hampir 30 juta transaksi, meningkat kira-kira 150 peratus berbanding tahun sebelumnya. China menyumbang sebahagian besar daripada pertumbuhan tersebut.

PayNet berkata, lebih banyak destinasi akan ditambah secara berperingkat pada masa hadapan, selaras dengan usaha memperluaskan akses pembayaran digital Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Ekosistem Alipay+ ketika ini menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna melalui lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa serta lebih 150 juta peniaga merentasi lebih 210 pasaran di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Must Watch Video

Advertisement