Skip to main content

Malaysia

FELCRA tanggung yuran pengajian anak peserta cemerlang hingga tamat pengajian – Zahid

Ahmad Zahid mengarahkan FELCRA Berhad diarahkan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sehingga tamat pengajian. - Gambar Astro AWANI
Ahmad Zahid mengarahkan FELCRA Berhad diarahkan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sehingga tamat pengajian. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

AYER KEROH: FELCRA Berhad diarahkan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sehingga tamat pengajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan itu bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada masa depan anak-anak peserta FELCRA.

“Saya mengarahkan Pengerusi FELCRA Berhad, ahli dan pengarah, CEO dan pengurusan kanan untuk menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak FELCRA sehingga tamat pengajian bagi mereka yang memperoleh semua A dalam SPM dan juga kepada anak-anak FELCRA yang memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad yang akan disempurnakan di Dewan Mansor Shah, Melaka International Trade Centre (MITC) Melaka, pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, pendidikan dan kemahiran merupakan pelaburan penting bagi membolehkan generasi seterusnya membina pendapatan sendiri, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Kolej FELCRA, institusi latihan dan pihak industri terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja mahir, khususnya dalam sektor perladangan dan teknologi pertanian.

“Saya harap mereka yang keluar daripada Kolej ini ataupun institusi TVET FELCRA ini akan diberikan gaji premium, gaji yang melebihi daripada gaji minimum… insya-Allah gaji premium mereka melebihi daripada RM3,000 sebulan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengarahkan FELCRA menyediakan bantuan khas kepada peserta dalam kategori B40 yang terlibat dalam program tanam semula, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tahun depan.

Beliau berkata, bantuan itu bertujuan memastikan kebajikan peserta terus terpelihara sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka.

Must Watch Video

Advertisement