BISNES
Pekema, Aquateak tubuh SenangCas, percepat infrastruktur pengecasan EV

Presiden Pekema, Mohamed Nazari Noordin (empat dari kiri) bersama Pengarah Aquateak Energy Sdn Bhd, Tarmizi Jusoh (tiga dari kanan) merakam detik penyerahan simbolik bagi menandakan termeterainya kerjasama strategik. - Gambar Pekema
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) terus memacu peranan sebagai peneraju mobiliti hijau negara apabila menandatangani kerjasama strategik dengan Aquateak Energy Sdn Bhd bagi menubuhkan syarikat usaha sama baharu, SenangCas Sdn Bhd.
Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, penubuhan SenangCas bukan sekadar kerjasama perniagaan, malah komitmen pihaknya untuk menyediakan ekosistem EV yang lengkap, menyeluruh dan mampan.
Jelas beliau, usaha dijangka mempercepat pembinaan rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Malaysia.
“Melalui kolaborasi dengan Aquateak Energy, kami mahu Pekema muncul sebagai peneraju dalam membina jaringan pengecasan EV yang lebih cekap, pintar serta mudah digunakan. Ini adalah langkah holistik kami untuk membantu negara mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas EV awam menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Mohamed Nazari menambah, kekuatan rangkaian ahli Pekema di seluruh negara, yang terdiri daripada pengimport dan peniaga automotif Bumiputera menjadi kelebihan besar dari segi capaian pasaran dan lokasi strategik untuk projek ini.
Sementara itu, Pengarah Aquateak Energy, Datuk Tarmizi Jusoh, berkata, kerjasama ini menggabungkan kepakaran teknikal Aquateak dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dengan keupayaan Pekema mengembangkan pasaran.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan PEKEMA menerusi inisiatif ini. Ia bukan sahaja membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon, malah memberi manfaat terus kepada pengguna melalui kemudahan pengecasan yang lebih luas dan pantas,” katanya.
Antara fokus utama SenangCas adalah fasa pertama membina lebih 650 pengecas EV di lokasi strategik seluruh negara, termasuk pusat bandar dan lebuh raya utama, menjelang hujung 2026.
Selain itu, penggunaan tenaga bersih serta teknologi grid pintar bagi memastikan kebolehpercayaan sistem; pengecas bersifat ‘akses terbuka’ yang serasi dengan kebanyakan jenama EV; serta rancangan meluaskan operasi ke pasaran ASEAN pada fasa seterusnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami