KUALA LUMPUR: Pelabur asing meneruskan belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, membeli ekuiti bernilai RM465.5 juta pada minggu lepas, menurut MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dananya untuk minggu berakhir 11 Ogos, katanya pelabur asing membuat belian bersih setiap hari, yang kali terakhir dibuat pada minggu berakhir 24 Feb 2023.

"Mereka membeli bersih RM800,000 pada Isnin, RM84.5 juta pada Selasa, RM209.7 juta pada Rabu, RM66.3 juta pada Khamis dan RM104.2 juta pada Jumaat.

"Tiga sektor utama yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM274.3 juta), teknologi (RM66.0 juta) dan perladangan (RM65.0 juta)," katanya.

Sektor yang menyaksikan aliran keluar asing bersih pada minggu tersebut ialah penjagaan kesihatan (-RM72.2 juta), REIT (-RM22.0 juta) dan tenaga (-RM700,000).

Setakat ini, katanya warga asing telah menjual bersih RM2.46 bilion.

Sebaliknya, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih ekuiti domestik untuk minggu kelima berturut-turut selepas jualan bersih sebanyak RM321.9 juta minggu lepas.

Mereka hanya membeli bersih RM23.0 juta pada Isnin, sebelum menjadi penjual bersih pada sepanjang minggu tersebut.

Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih pada RM2.68 bilion.

Peruncit tempatan turut menjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut pada kadar yang lebih tinggi sebanyak RM143.7 juta berbanding RM8.5 juta jualan bersih pada minggu sebelumnya.

Setakat ini, peruncit tempatan telah menjual bersih RM220.1 juta.

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit dan pelabur institusi, masing-masing merosot sebanyak 2.4 peratus dan 5.8 peratus manakala pelabur asing kekal tidak berubah.

-- BERNAMA