Skip to main content

Bisnes

Pelabur China tunjuk hasrat labur US$15 bilion dalam enam sektor berpotensi tinggi – TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Pelabur China menyatakan hasrat melabur US$15 bilion di Malaysia, melibatkan enam sektor berpotensi tinggi termasuk E&E, semikonduktor dan industri halal.
  • Hasrat itu disampaikan semasa Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi.
  • Sesi padanan perniagaan akan diatur antara delegasi China dan rakan tempatan, dengan sokongan kementerian serta agensi berkaitan mengenai insentif pelaburan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelabur China menunjukkan hasrat untuk membuat pelaburan berjumlah US$15 bilion di Malaysia, melibatkan enam sektor berpotensi tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, serta industri halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat awal itu disampaikan semasa perbincangan dengan 58 ahli perniagaan dari China yang berada di negara ini bagi menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi.

Ahmad Zahid berkata kehadiran delegasi berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur China terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

Advertisement

“Sebelum kami mengadakan pertemuan tadi mereka telah berikan indikasi awal kepada saya (hasrat melabur US$15 bilion).

“Kita sekarang menumpukan kepada pelaburan bernilai tinggi, maknanya berteknologi tinggi, tidak lagi berintensif buruh dan tidak lagi berasaskan penggunaan tenaga kerja tanpa kemahiran,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut, di sini, hari ini.

Advertisement

Ahmad Zahid berkata enam sektor yang dikenal pasti ialah E&E dan semikonduktor, bahan industri khusus dan kejuruteraan berketepatan, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi, pemprosesan makanan serta produk halal, teknologi kesihatan dan farmaseutikal serta pelancongan.

Beliau berkata dalam sektor E&E dan semikonduktor, pelabur China melihat Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam rantaian bekalan antarabangsa, selain ketersediaan tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi sektor bahan industri khusus dan kejuruteraan berketepatan, katanya, tumpuan diberikan kepada pengeluaran kerajang tembaga, teknologi robotik, automasi serta aktiviti pembuatan yang memerlukan tahap ketepatan tinggi manakala dalam sektor ekonomi digital delegasi berkenaan berminat meneroka peluang pembangunan pusat data, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Mengulas sektor pemprosesan makanan dan produk halal, Ahmad Zahid berkata beberapa syarikat China termasuk pengeluar produk tenusu utama, berminat berkongsi teknologi serta memperluas pelaburan dalam aktiviti pemprosesan makanan di Malaysia.

Beliau berkata syarikat dalam sektor teknologi kesihatan dan farmaseutikal pula berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pengeluaran produk kesihatan halal untuk dieksport, khususnya ke pasaran Timur Tengah.

“Bagi sektor halal, pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjadi antara faktor utama yang menarik minat syarikat terbabit untuk menjalankan operasi pengeluaran di negara ini.

“Untuk pelancongan, pelabur China turut berminat membangunkan resort dan hotel, selain menjalin kerjasama bagi memperkukuh industri pelancongan negara,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata sesi padanan perniagaan akan diatur antara delegasi China dengan bakal rakan pelaburan tempatan, termasuk dewan perniagaan, persatuan perniagaan dan pemain industri berkaitan.

Pertemuan itu turut melibatkan pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan yang memberikan penerangan mengenai iklim pelaburan negara dan insentif yang ditawarkan kepada pelabur asing, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement