KUALA LUMPUR: Penyediaan tenaga hijau serta kemudahan menjalankan perniagaan yang cekap perlu diberi perhatian bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia terhadap pelabur berkualiti, khususnya dalam sektor perindustrian.
Selain menawarkan sumber tenaga yang mampan, penyediaan infrastruktur lengkap dan proses kelulusan yang pantas turut menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pelabur untuk memilih sesebuah lokasi sebagai destinasi pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata, Selangor mempunyai kelebihan dalam penawaran tenaga hijau menerusi inisiatif menukar sisa pepejal kepada tenaga, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pelabur yang mengutamakan aspek kelestarian.
Menurutnya, sebuah loji di Jeram ketika ini beroperasi dengan kapasiti memproses 1,500 tan sisa sehari bagi menjana kira-kira 26 megawatt (MW) tenaga.
Jelasnya, sebuah lagi loji yang dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun ini akan mempunyai kapasiti pemprosesan tambahan 1,500 tan sisa sehari dan menjana 26MW lagi, menjadikan jumlah kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 52MW.
Beliau berkata, penawaran tenaga hijau itu berpotensi menarik pelabur dari Eropah dan negara Barat yang perlu melaporkan prestasi pelepasan karbon serta aspek kelestarian kepada ibu pejabat masing-masing.
"Di sinilah kita mempunyai kelebihan khusus, apabila dapat membekalkan tenaga hijau secara langsung kepada pelabur, sekali gus bukan sahaja menyokong keuntungan mereka tetapi juga usaha kelestarian negeri," katanya dalam program Investment Insider, pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Perindustrian, Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib berkata, keupayaan sesebuah kawasan perindustrian menyediakan kemudahan menjalankan perniagaan secara cekap merupakan antara keutamaan utama pelabur.
Menurutnya, pelabur memerlukan proses yang pantas, garis panduan jelas, tiada kekaburan serta keputusan segera daripada agensi berkaitan dan pengurusan taman perindustrian.
Jelasnya, penyediaan infrastruktur yang lengkap menerusi konsep plug and play juga penting bagi membolehkan pelabur memulakan operasi dengan kos minimum tanpa perlu berdepan kelewatan.
"Keadaan ideal adalah apabila pelabur boleh terus masuk dan memulakan operasi kilang atau perniagaan mereka, dengan infrastruktur tersedia serta premis yang dibina mengikut spesifikasi diperlukan.
"Insentif cukai dan tanah pula boleh menjadi nilai tambah untuk menarik minat pelabur," katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu meningkatkan keupayaan dari segi kemudahan pelaburan memandangkan negara turut bersaing dengan negara ASEAN lain yang menawarkan pilihan destinasi pelaburan kepada pelabur antarabangsa.
Katanya, kegagalan memperkemas proses serta menyediakan kemudahan diperlukan boleh menyebabkan pelabur memilih negara jiran yang menawarkan persekitaran perniagaan lebih kompetitif.
Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor.